AM

SAS2024 CATAT KEJAYAAN BESAR, TARIK 29,638 PENGUNJUNG

13/12/2024 09:46 PM

SHAH ALAM, 13 Dis (Bernama) -- Pameran Penerbangan Selangor (SAS2024) mencapai kejayaan baharu dengan menarik sebanyak 29,638 pengunjung setakat ini, melebihi 25,000 sasaran ditetapkan dan mencatat peningkatan ketara berbanding 19,217 pengunjung direkodkan tahun lepas.

SAS2024 juga terus mencatat kejayaan luar biasa dengan merekodkan nilai transaksi berpotensi RM3.2 bilion, jumlah terbesar dalam sejarah penganjuran SAS, yang memperlihatkan peranan penting acara itu dalam merintis masa depan industri aeroangkasa.

Berlangsung di Pusat Penerbangan Serantau (RAC) Skypark di Bukit Jelutong dekat sini bermula semalam hingga Sabtu ini, acara berkenaan telah melebihi segala jangkaan, menonjolkan usaha Selangor untuk memantapkan kedudukannya sebagai hab perdagangan serantau utama di ASEAN dalam industri aeroangkasa dan penerbangan.

Menurut Invest Selangor, SAS dengan pantas menjadi platform terkemuka untuk inovasi, kerjasama dan perdagangan dalam sektor aeroangkasa dan penerbangan, merangkumi pelbagai sektor seperti gaya hidup, pembangunan bakat, dan teknologi canggih, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin kemajuan di rantau ini.

Acara berkenaan menampilkan 129 pempamer dari 39 negara, mempamerkan produk dan perkhidmatan terkini dalam industri aeroangkasa dan penerbangan termasuk 31 pesawat milik Malaysia, dengan antara tumpuan utama ialah Falcon 8X, Dornier 228, Honda HA420 HondaJet, dan siri pesawat Diamond.

"Antara pencapaian utama SAS2024 ialah pemeteraian 41 perjanjian persefahaman (MoU), hampir dua kali ganda berbanding 28 perjanjian yang dimeterai pada SAS2023.

"Kesemua MoU berkenaan mencerminkan kerjasama antara syarikat tempatan dan entiti antarabangsa dari Singapura, China, Republik Czech dan Thailand, menunjukkan semakin luas pengaruh global acara terbabit," menurut kenyataan itu.

MoU terbabit meliputi pelbagai bidang strategik termasuk pembangunan Selangor Aero Park, kemajuan dalam bahan api penerbangan lestari (SAF), penerbangan elektrik, latihan tenaga kerja, penyelidikan aeroangkasa, dan pengembangan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO).

Dianjurkan oleh kerajaan Selangor menerusi Invest Selangor, SAS2024 memperlihatkan komitmen untuk membangunkan bakat penerbangan generasi akan datang, sekali gus acara ini menekankan peranan "Selangor sebagai pintu masuk ke ASEAN", menarik perniagaan dari pasaran tempatan, serantau, dan antarabangsa untuk meneroka potensi pasaran dalam industri aeroangkasa.

Pada masa akan datang, SAS akan terus memainkan peranan utama dalam ekosistem aeroangkasa dan penerbangan termasuk Invest Selangor akan mencari lokasi baharu untuk edisi kelima penganjuran pameran berkenaan.

"Segmen utama akan merangkumi MRO, penerbangan perniagaan dan komersial, penerbangan sukan, operasi mencari dan menyelamat, dron, helikopter, pembangunan angkasa lepas dan perkhidmatan sokongan seperti makanan dan minuman (F&B), pembangunan bakat dan operasi lapangan terbang," menurut Invest Selangor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan