SHAH ALAM, 15 Dis (Bernama) -- Pindaan perlembagaan PKR berhubung proses pemilihan parti yang diluluskan hari ini membolehkan lebih ramai ahli daripada pelbagai latar belakang terlibat dalam proses pemilihan kepimpinan tertinggi parti.
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata pindaan itu membolehkan peningkatan kepada jumlah perwakilan yang memilih kepimpinan parti berikutan proses pemilihan akan diadakan secara fizikal dan hibrid.
Beliau berkata pindaan perlembagaan itu turut melibatkan prinsip penetapan kuota jantina dan etnik supaya lebih terangkum dan tidak ada kumpulan etnik yang tertinggal atau tidak terlibat dalam proses pemilihan.
“Ini adalah pindaan yang memberi lebih keadilan di samping kita turut menerapkan proses pendigitalan di mana undian di peringkat cabang dilaksanakan secara dalam talian.
“Harapan saya, ini akan membolehkan partisipasi keterlibatan semua anggota daripada pelbagai kaum dari pelbagai negeri dan latar belakang dalam proses memilih pimpinan tertinggi parti apabila tiba masanya nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Nasional Khas PKR yang dirasmikan Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata menerusi pindaan itu juga cabang yang mempunyai jumlah ahli yang tinggi, jumlah penglibatan mereka dalam pemilihan turut meningkat sekali gus memberikan keadilan kepada cabang berkenaan.
Terdahulu, pindaan perlembagaan parti berkait proses pemilihan parti yang diluluskan itu membolehkan jumlah perwakilan yang akan mengundi bagi enam jawatan tertinggi parti serta 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) di Kongres Nasional ditingkatkan.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial