AM

PERDANA MENTERI THAILAND TIBA DI MALAYSIA UNTUK LAWATAN RASMI DUA HARI

15/12/2024 09:33 PM

SEPANG, 15 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari, atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini merupakan lawatan sulung Paetongtarn ke Malaysia sejak dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand ke-31 pada Ogos lepas, untuk menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ketujuh (AC), yang bertujuan mempererat hubungan dua hala dan memperkukuh kerjasama serantau.

Pesawat khas membawa anak perempuan bongsu bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, suaminya Pidok Sooksawas dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.20 petang.

Antara yang menyambut ketibaan Paetongtarn dan delegasi beliau ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Bong Yik Jui.

 Sejurus tiba, Paetongtarn memeriksa kawalan kehormatan yang dibarisi oleh 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Kapten Khairul Azmi Jamingon.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan Paetongtarn akan disambut oleh Anwar dalam majlis sambutan rasmi, diikuti dengan mesyuarat dua hala.

Kedua-dua pemimpin dijangka menyaksikan pemeteraian perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai sektor, disusuli satu sidang media bersama dan jamuan tengah hari yang dihoskan oleh Anwar.

Paetongtarn dan Anwar akan bersama-sama mempengerusikan AC berkenaan, serta satu kenyataan akhbar bersama akan dikeluarkan selepas itu.

Lawatan berkenaan susulan daripada Mesyuarat Ke-15 Suruhanjaya Bersama Bagi Kerjasama Dua Hala dan Mesyuarat Ke-6 Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan antara Malaysia dan Thailand, yang dipengerusikan oleh Menteri Luar kedua-dua negara di Kuala Lumpur pada 6 Ogos lepas.

Lawatan itu juga merupakan sebahagian daripada pertukaran lawatan di peringkat pemimpin tahun ini, susulan lawatan kerja Anwar dan bekas Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin ke Sungai Golok, Thailand dan Rantau Panjang, Kelantan pada 3 Ogos lepas.

Thailand kekal sebagai rakan dagang utama bagi Malaysia, berada di kedudukan keenam terbesar di dunia dan kedua terbesar dalam ASEAN pada 2023, dengan perdagangan dua hala bernilai US$24.83 bilion (RM113.16 bilion).

Bagi tempoh antara Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah US$20.75 bilion (RM95.50 bilion), berbanding US$20.69 bilion (RM94.37 bilion) yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan