AM

PENGUSAHA FERI LANGKAWI BATAL KENAIKAN TAMBANG SELEPAS KERAJAAN CAMPUR TANGAN

15/12/2024 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Tidak sampai 24 jam Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengumumkan kenaikan kadar tambang feri ke pulau legenda itu, kerajaan telah mengambil langkah segera untuk campur tangan dengan mengarahkan agar keputusan tersebut ditarik balik serta-merta.

Sejurus selepas pengumuman mengenai kenaikan itu dibuat pagi tadi, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menerusi hantaran di laman Facebook meluahkan rasa kesal dan menyifatkan keputusan tersebut sebagai terburu-buru.

"Adalah lebih baik semua pengusaha menarik balik pengumuman ini serta-merta dan berunding dengan pihak Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada pengusaha feri bahawa mereka tidak layak menerima subsidi diesel sekiranya menaikkan kadar tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik.

Terdahulu, media melaporkan harga tiket perkhidmatan feri bagi setiap perjalanan ulang-alik dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi akan dinaikkan antara RM3 dan RM10.50 bermula 1 Jan ini.

Susulan itu, Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd telah membatalkan langkah untuk menaikkan kadar tambang bagi laluan terbabit untuk rakyat Malaysia yang diumumkan syarikat itu pada sebelah pagi.

Pengurus Besarnya, Kapten Dr Baharin Baharom berkata bagaimanapun kenaikan kadar tambang bagi pelancong asing akan diteruskan dan berkuat kuasa pada 1 Jan 2025.

Kadar tambang bagi bukan warganegara untuk laluan Langkawi-Kuala Perlis-Langkawi akan dinaikkan RM8 untuk orang dewasa iaitu daripada RM27 kepada RM35 dan RM19.50 kepada RM25 bagi kanak-kanak.

Bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi, kadar tambang untuk orang dewasa bukan warganegara dinaikkan RM10.50 iaitu daripada RM34.50 kepada RM45 dan daripada RM25.50 kepada RM32 bagi kanak-kanak bukan warganegara.

Pengumuman terkini itu dan langkah drastik yang diambil oleh Kerajaan MADANI dalam menyelesaikan perkara berkenaan ternyata memberi kelegaan buat orang ramai khususnya penduduk sekitar yang bergantung kepada pengangkutan tersebut.

Tinjauan Bernama di media sosial mendapati rata-rata pengguna memberikan reaksi positif serta mengucapkan terima kasih dengan ketegasan Loke dan kerajaan.

"Terbaik Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pengangkutan menangani isu ini dengan pantas dan tepat," demikian komen pemilik akaun ISLAH Komuniti Pantai Timur di Facebook.

"TQ MADANI untuk Langkawi," kata pemilik akaun Muhammad Syahmi Zaini II, juga menerusi komen di Facebook.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan