EKONOMI

TM, Petronas Dan Gentari Meterai MoU Pacu Transformasi Digital Industri

19/12/2024 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Telekom Malaysia Bhd (TM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan cabang digital Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas Digital Sdn Bhd dan cabang tenaga bersihnya, Gentari Sdn Bhd (Gentari), untuk memacu transformasi digital dan inovasi mampan bagi industri dan negara.

Di bawah kerjasama ini, TM dan Petronas akan meneroka aliran pendapatan baharu melalui pengembangan penawaran produk kepada pasaran perusahaan dan pengguna serta memacu pertumbuhan dan inovasi melalui pusat data, teknologi awan canggih, dan kesalinghubungan untuk perniagaan di Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama, pihak yang berkenaan menekankan integrasi penyelesaian berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta Internet Pelbagai Benda (IoT) dijangka dapat mengoptimumkan perkhidmatan, meningkatkan kecekapan operasi, dan menambah baik perkhidmatan awam, menyumbang kepada masa depan yang lebih pintar dan mampan.

Naib Presiden Eksekutif TM One Shazurawati Abd Karim berkata infrastruktur TM yang kukuh di seluruh negara dan penyelesaian yang pelbagai sejajar dengan matlamat Petronas untuk transformasi tenaga.

"Dengan memanfaatkan kuasa 5G, awan, kecerdasan buatan (AI), dan IoT, kami sedang membina asas untuk masa depan yang lebih cekap dan berdaya tahan. Ini mencerminkan visi bersama kami untuk Malaysia yang lebih maju secara digital dan mampan, komitmen penting dalam usaha TM untuk menjadi Digital Powerhouse menjelang 2030," katanya.

Naib Presiden, Penyampaian Projek dan Teknologi Petronas Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata MoU itu mendorong penciptaan aplikasi bernilai yang memanfaatkan kuasa teknologi termasuk teknologi bersih, yang boleh dijadikan penanda aras untuk pelaksanaan berskala besar dalam pelbagai industri.

"Dengan berpegang kepada komitmen Petronas terhadap penciptaan nilai bermakna dan kesan sosial yang positif, kami teruja dengan transformasi yang bakal berlaku. Kami berhasrat untuk sama-sama membentuk ekosistem digital yang berkembang pesat dan mampan," katanya.

Kerjasama antara Gentari dan TM turut meneroka integrasi penyelesaian tenaga bersih melalui tenaga solar dan pengecasan EV di kemudahan-kemudahan TM, kata kenyataan itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari, Shah Yang Razalli berkata dengan mengintegrasikan tenaga boleh baharu dan penyelesaian mobiliti hijau ke dalam operasi TM ia akan menyumbang ke arah laluan mampan dalam peralihan tenaga negara.

"Kerjasama ini menonjolkan usaha bersama kami untuk mencipta ekosistem digital yang lebih mampan serta menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan