EKONOMI

Salaam Market Sasar Penyertaan 10,000 PMKS Menjelang 2025

20/12/2024 06:15 PM

GEORGE TOWN, 20 Dis (Bernama) -- Salaam Market, pasaran halal borong pertama Malaysia menyasarkan penyertaan 10,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menjelang 2025.

Macro Tech Ventures Sdn Bhd atau dikenali juga sebagai Borong, agregator platform dan perisian e-dagang perniagaan ke perniagaan (B2B) melancarkan Salaam Market dengan Maybank Islamic di Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2024 pada 7 Dis lepas.

Salaam Market dalam satu kenyataan berkata platform tersebut mengukuhkan perkongsian strategik antara Borong dan Maybank Islamic iaitu usaha penting dalam memajukan industri halal Malaysia untuk berkembang dengan anggaran US$113.2 billion (US$1 = RM4.50) menjelang 2030. 

“Platform ini merupakan langkah utama bagi peniaga tempatan yang ingin mengembangkan capaian mereka di peringkat tempatan dan serantau, selain meletakkan Malaysia sebagai peneraju pasaran halal global,” katanya.

Pengasas bersama Borong, Aizat Rahim berkata Salaam Market membantu menangani cabaran utama yang dihadapi pemain industri halal, termasuk kebolehcapaian dan kemampuan dengan kerjasama Maybank Islamic bagi penyelesaian pembiayaan serta memanfaatkan sokongan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi pensijilan halal.

Sementara itu, Pengarah Program Strategik Maybank Islamic Muhd Ramadhan Fitri Ellias berkata Salaam Market merupakan salah satu daripada program  “beyond banking” bank tersebut bagi menyokong keperluan PMKS tempatan untuk melengkapkan ekosistem halal.

“Pemain industri halal boleh mengembangkan perniagaan mereka menerusi pembiayaan yang lancar dan panduan kemudahan halal dalaman,” katanya.

Sebagai ganjaran kepada perniagaan baharu, Salaam Market kini menawarkan diskaun untuk masa terhad sebanyak RM100 dengan perbelanjaan minimum RM250 bagi semua pembelian yang dibuat sehingga 1 Jan, 2025

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan