Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Sektor tenaga Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang ketara tahun ini, dipacu oleh insentif yang memangkin pemain industri untuk terlibat dalam usaha sama tenaga hijau baharu terutamanya sistem solar.
Pengenalan Skim Insentif Solar Untuk Rakyat (SolaRIS) yang menyediakan rebat sehingga RM4,000 untuk aplikasi Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) baharu menyerlahkan lagi industri solar.
Menerusi skim itu lebih 667 pengguna NEM Rakyat memasang sistem solar fotovolta (PV) setakat Julai 2024, dengan aplikasi harian meningkat daripada 100 kepada 150.
Kemajuan ini dilihat sebagai maklum balas positif daripada orang ramai, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
Malaysia Meneroka Peluang Dalam Tenaga Boleh Baharu
Malaysia juga dalam perancangan untuk meneroka sumber tenaga boleh baharu (TBB) seperti hidrogen dan nuklear bagi mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Sebagai contoh, reaktor modular kecil menjadikan tenaga nuklear lebih berdaya maju dengan menawarkan penyelesaian yang lebih selamat, kos efektif dengan sisa radioaktif yang kurang dan kos jangka panjang yang stabil.
Kerajaan juga menyasarkan untuk menghasilkan dua juta tan hidrogen setiap tahun, meningkat kepada 16 juta tan menjelang 2050. Ini akan menyokong penyahkarbonan dalam sektor seperti penjanaan kuasa dan pengangkutan, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Prospek Yang Menjanjikan Untuk Sektor Tenaga Pada 2025
Pada 2025, sektor tenaga dijangka berkembang lebih rancak berikutan perancangan kerajaan untuk mengguna pakai teknologi baharu dan meningkatkan insentif sedia ada seperti NEM.
Dalam sektor solar, peruntukan Belanjawan 2025 untuk NETR akan dinaikkan kepada RM300 juta daripada RM100 juta tahun ini.
Insentif tambahan ini akan menggalakkan lebih banyak premis memasang solar fotovolta dengan e-rebat sehingga RM70 juta diperuntukkan bagi menggalakkan pembelian peralatan elektrik yang cekap tenaga.
Ia berikutan pendekatan kerajaan yang lebih terbuka kepada penggunaan teknologi baharu untuk penjanaan elektrik bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Teknologi ini termasuk storan tenaga bateri, storan hidro yang dipam, pemerangkapan karbon, teknologi nuklear, dan kedua-dua reaktor berskala kecil dan besar.
Bagi tujuan ini, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan mempergiatkan pelaksanaan program TBB untuk mencapai sasaran kapasiti terpasang TBB sebanyak 70 peratus.
Antaranya, progam tarif galakan (FiT), NEM, Penggunaan Sendiri Pemasangan PV Solar (SELCO), Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dan Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRES).
Memandangkan Malaysia memegang jawatan pengerusi ASEAN pada 2025, negara komited untuk memuktamadkan inisiatif strategik Grid Kuasa ASEAN (APG) tahun depan.
APG bukan sahaja mengenai menghubungkan sistem tenaga merentasi daratan dan bawah air tetapi juga mengenai meletakkan rantau ini sebagai hab tenaga hijau yang mampu menarik pelaburan antarabangsa.
Sehingga kini, semua negara anggota pada dasarnya telah mencapai persetujuan mengenai APG.
Bagi tujuan ini, kerajaan akan melihat bagaimana TNB boleh memainkan peranan dalam merealisasikan inisiatif APG, dengan matlamat menjadikan negara dan rantau ini sebagai hab tenaga utama masa depan.
Kerajaan sedar akan pelaburan besar yang diperlukan dan sedang mempertimbangkan cara untuk TNB bekerjasama dengan entiti lain bagi memastikan kejayaan APG.
TNB, yang ditugaskan untuk beralih daripada arang batu kepada TBB, telah menjalankan penyelidikan yang meluas untuk memastikan peralihan yang lancar dan berkesan.
Kebimbangan Terhadap Bekalan Tenaga Mampan di Sabah
Anak syarikat TNB, Sabah Electricity Sdn Bhd, dilaporkan menghadapi masalah kewangan dan memerlukan sokongan kerajaan persekutuan untuk memastikan bekalan kuasa yang mampan terus disalurkan.
Pengerusinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata tanpa sokongan kerajaan Persekutuan, Sabah berisiko terputus bekalan elektrik seawal Januari 2025.
Wilfred berkata aliran tunai syarikat mengalami defisit dan, tanpa bantuan segera, tidak akan dapat membayar Penjana Tenaga Bebas (IPP) dan pembekal bahan api.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial