KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Export-Import Bank of Malaysia Bhd (Exim Bank) dinobatkan sebagai Pemberi Pinjaman Terbaik 2024 pada anugerah Impact Awards 2024 baru-baru ini berikutan pembiayaan dan pandangan pelaburannya yang memfokuskan kepada kemampanan.
Impact Awards yang dianjurkan Environmental Finance selaku platform global terkemuka bagi pembiayaan dan pelaburan berfokuskan kemampanan, mengiktiraf organisasi dan inisiatif yang memperlihatkan kepimpinan luar biasa dalam memacu perubahan positif terhadap alam sekitar dan sosial menerusi penyelesaian pembiayaan inovatif.
Dalam kenyataan hari ini, Exim Bank berkata anugerah itu mengiktiraf sumbangan transformasi berterusannya bagi memajukan pembiayaan mampan dan mendorong perdagangan bertanggungjawab serta komitmen teguh ke arah mengukuhkan daya tahan pengeksport Malaysia dalam mendepani perubahan iklim.
“Dengan mengutamakan projek yang memberi impak kepada alam sekitar dan sosial, Exim Bank telah melaksanakan penyelesaian inovatif dengan konsisten, yang sejajar dengan matlamat pembangunan Malaysia dan piawaian kemampanan global,” katanya.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Exim Bank Nurbayu Kasim Chang berkata pengiktirafan Environmental Finance menunjukkan kepimpinan bank itu dalam pembiayaan mampan dan komitmen untuk memperkasakan pengeksport Malaysia.
“Di Exim Bank, kami melihat kemampanan bukan sahaja sebagai matlamat, malah menjadi sebahagian daripada misi kami untuk memacu pertumbuhan ekonomi secara bertanggungjawab.
“Selain menyediakan pembiayaan, kami menawarkan sokongan menyeluruh merangkumi khidmat nasihat dan pembinaan kapasiti untuk mempersiapkan perniagaan bagi kejayaan jangka panjang,” katanya.
Exim Bank meluluskan pembiayaan hijau berjumlah kira-kira RM410 juta pada 2024.
Antara inisiatif utama bank itu adalah Program Malaysia Global Connect, platform yang menyokong perusahaan kecil dan sederhana melalui pembinaan kapasiti dan khidmat nasihat yang tertumpu kepada cabaran berkaitan eksport dan kemampanan.
“Inisiatif Global Hijau EXIM turut dilancarkan untuk memaparkan komitmen teguh sehingga RM1.5 bilion dalam pembiayaan mampan menjelang 2027 dan menyasarkan untuk membiayai projek tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan pertanian mampan, memastikan sumbangan penting kepada usaha kemampanan global,” kata Exim Bank.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial