EKONOMI

Capital A Dijangka Keluar Daripada Status PN17 Menjelang Suku Pertama 2025 -- Fernandes

23/12/2024 07:08 PM

SEPANG, 23 Dis (Bernama) -- Capital A Bhd dijangka keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) menjelang suku pertama tahun depan selepas menyerahkan cadangan pelan regularisasinya kepada Bursa Malaysia Securities Bhd hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Tony Fernandes berkata kumpulan itu mengemukakan pelan tersebut, yang antara lainnya, termasuk pengurangan modal sebanyak RM6 bilion, namun tidak akan menjejaskan kekerapan penerbangan atau mengurangkan manfaat pekerjanya.

“Pelan regularisasi itu adalah untuk mengukuhkan lembaran imbangan kami dengan menghapuskan kerugian yang ditanggung semasa pandemik COVID-19 dan mencerminkan nilai sebenar aset pendasar kami dalam Capital A.

“Saya berharap menjelang Februari atau Mac (tahun depan), AirAsia Group akan menjadi syarikat baharu dan Capital A keluar daripada status PN17.

“Ia satu pelan yang mudah hanya pengurangan modal. Jadi saya harap Bursa Malaysia akan menimbang dengan sewajarnya dan meluluskannya dengan segera,” katanya kepada media selepas majlis sambutan Krismas dan pengumuman khas AirAsia MOVE, di sini, hari ini.

Fernandes berkata pelan itu merupakan pencapaian Capital A dalam mengukuhkan kedudukan kewangan dan mencerminkan komitmennya untuk memacu pertumbuhan jangka panjang kumpulan. 

“Tidak banyak syarikat yang berjaya keluar daripada (status) PN17, dan syarikat yang berjaya melakukannya selalunya mengambil masa bertahun-tahun untuk mencapainya.

“Apa yang menjadikan pencapaian ini lebih luar biasa adalah kami mencapainya ketika berdepan dengan cabaran yang belum pernah terjadi sebelum ini yang disebabkan oleh COVID-19.

“Apabila pelan itu diluluskan kelak, Capital A akan mengikuti jejak langkah AirAsia X yang berjaya keluar daripada status PN17 hampir setahun lalu,” katanya.

Beliau berkata selain Bursa Malaysia, pemegang saham dan Mahkamah Tinggi juga perlu meluluskan pelan regularisasi itu yang tertakluk kepada selesainya pelupusan penerbangan.

“Dengan semua kelulusan diterima, kami yakin untuk melaksanakan strategi kami bagi mencapai pertumbuhan yang mampan dan nilai jangka panjang, membina Capital A menjadi lebih kukuh dan berdaya tahan,” katanya.

Fernandes berkata, Capital A akan terus komited terhadap pematuhan kawal selia dan  menumpu untuk mengurangkan risiko, termasuk persaingan pasaran dan gangguan operasi.

"Kumpulan kami yakin dengan hala tuju strategik dan keupayaan kami untuk melaksanakan pelan regularisasi itu dengan berkesan, bagi pertumbuhan kukuh pada masa depan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan