EKONOMI

Pemansuhan Kadar Faedah Rata Pinjaman Peribadi Boleh Kekang Hutang Isi Rumah, Risiko Bankrap

24/12/2024 06:11 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memansuhkan kadar faedah rata untuk mengira pembiayaan peribadi dilihat sebagai langkah penting ke arah menambah baik kesihatan kewangan isi rumah, kata seorang ahli ekonomi.

Menerusi Draf Pendedahan Pembiayaan Peribadi yang dikeluarkan pada 13 Dis 2024, BNM ingin mendapatkan input awam mengenai keperluan baharu untuk memansuhkan penawaran pembiayaan peribadi dengan caj faedah/keuntungan dikira menggunakan kadar rata dengan kaedah Peraturan 78.

Bank pusat berkata langkah itu selaras dengan usaha bersama bank pusat, Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melalui pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967, yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada separuh pertama 2025.

Menurut draf pendedahan itu, Peraturan 78 ialah kaedah yang digunakan secara meluas untuk mengira pembayaran balik pinjaman yang mengenakan caj faedah ke atas produk pembiayaan peribadi, yang memerlukan peminjam membayar kadar faedah yang lebih tinggi pada awal tempoh pinjaman.

Ketua ahli ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli berkata kadar faedah rata, digabungkan dengan Peraturan 78, sering menyebabkan peminjam membayar faedah tinggi lebih awal, memberi kesan yang tidak seimbang kepada mereka yang membayar balik awal.

“Peraturan 78 yang memastikan faedah maksimum dibayar pada permulaan bermakna peminjam membayar sebahagian besar daripada jumlah faedah pada peringkat awal pinjaman.

“Ini memberi kesan yang tidak seimbang kepada mereka yang mempunyai pinjaman jangka panjang, kerana pembayaran balik awal tidak menghasilkan penjimatan yang ketara, menjadikan pembiayaan peribadi lebih mahal bagi peminjam yang mungkin ingin menjelaskan pinjaman lebih awal,” katanya kepada Bernama.

 

Bank dan pengguna boleh sesuaikan diri dengan persekitaran baharu

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pemansuhan Peraturan 78 boleh menggalakkan peminjam menyelesaikan pinjaman mereka lebih awal dengan mengurangkan beban kewangan pembayaran faedah.

“Jumlah prinsipal pembiayaan dibayar dalam bahagian yang lebih besar berbanding bahagian keuntungan (faedah),” katanya kepada Bernama sambil mencadangkan ini boleh menjadi insentif untuk penyelesaian pinjaman awal yang seterusnya memberi manfaat kepada kesihatan kewangan jangka panjang peminjam.

Beliau berkata bank-bank bertindak pantas kerana mereka mempunyai jawatankuasa aset dan liabiliti  untuk memutuskan kecairan dan permintaan untuk pembiayaan.

"Bank-bank akan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu itu," ujarnya.

Sementara itu, Firdaos mencadangkan peralihan itu tidak perlu terlalu mencabar kerana kebanyakan institusi kewangan sudah mengiktiraf faedah menggunakan kadar faedah efektif (EIR).

“Bagi penyedia ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL), walaupun perubahan itu mungkin memerlukan keperluan pematuhan tambahan, ia tidak dijangka menghalang mereka daripada menyediakan perkhidmatan kepada jumlah pengguna yang lebih besar. 

“Peralihan itu malah boleh meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap produk sedemikian dengan menggalakkan amalan yang lebih adil,” katanya.

 

Impak ke atas kadar bankrap

Draf Pendedahan Pembiayaan Peribadi BNM mendedahkan bahawa pada akhir 2023, hutang isi rumah agregat berjumlah RM1.53 trilion, dengan 12.6 peratus dikaitkan dengan pembiayaan peribadi.

Pembiayaan peribadi juga dikenal pasti sebagai salah satu penyumbang utama kepada kebankrapan, menyumbang 46.26 peratus daripada jumlah kes muflis pada 2023.

Pada akhir April 2024, 32.8 peratus daripada kemudahan pinjaman yang didaftarkan dalam Program Pengurusan Hutang Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) terdiri daripada pembiayaan peribadi.

Firdaos berpendapat walaupun dasar baharu itu mungkin membantu, namun ia bukan penawar kepada muflis.

“Walau apapun, langkah BNM itu adalah satu langkah ke arah yang betul untuk menangani isu struktur dalam pembiayaan peribadi. Walaupun ia boleh membantu mengurangkan kadar muflis, intervensi tambahan tetap perlu, termasuk daripada perspektif fiskal,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) Amina Kayani bersetuju bahawa pemansuhan Peraturan 78 mungkin boleh membantu meringankan sedikit beban kewangan peminjam, tetapi menangani kebankrapan memerlukan pendekatan yang holistik.

"Ini termasuk menggalakkan celik kewangan, menggalakkan peminjaman yang bertanggungjawab, dan menyokong penyelesaian pengurusan hutang yang mudah," katanya.

Amina berkata cadangan pemansuhan Peraturan 78 oleh BNM itu sejajar dengan komitmen ABM untuk menyokong sektor kewangan yang adil dan telus serta kesejahteraan pengguna.

"ABM dan bank ahli kami akan bekerjasama rapat dengan BNM untuk melaksanakan sebarang perubahan secara berkesan berdasarkan dokumen dasar terakhir mengenai pembiayaan peribadi yang akan dikeluarkan pada masa hadapan sambil menangani sebarang butiran operasi sepanjang tempoh itu," katanya.

 

Cabaran bayaran balik pinjaman yang tinggi

Di bawah keperluan am bagi produk pembiayaan peribadi, tempoh pinjaman tidak melebihi 10 tahun.

Oleh itu, BNM juga sedang mendapatkan maklum balas orang ramai untuk mengurangkan tempoh maksimum produk pembiayaan peribadi kepada tujuh tahun, seperti yang dilaksanakan di negara lain seperti Australia dan Singapura.

Mohd Afzanizam mengalu-alukan perubahan yang dicadangkan itu, khususnya bagi potensi kewangan isi rumah yang lebih sihat.

“Ia adalah langkah positif kerana matlamat utamanya adalah untuk menggalakkan keadaan kewangan yang sihat bagi peminjam. Mengurangkan tempoh kepada tujuh tahun bermakna keterhutangan isi rumah dihadkan kepada tujuh tahun dan bukannya tempoh maksimum 10 tahun.

"Jadi dari segi pembayaran balik bulanan, ia akan menjadi lebih tinggi sedikit, dan oleh itu, peminjam perlu mengukur sebaik mungkin kemampuannya apabila mereka ingin memohon pembiayaan peribadi," katanya.

Sementara itu, Amina berkata tempoh 10 tahun memberikan fleksibiliti kepada peminjam, terutamanya dalam menguruskan pembayaran balik bulanan mampu milik.

"Mengurangkan tempoh untuk sejajar dengan negara lain, seperti Australia dan Singapura, akan memerlukan penilaian teliti untuk memastikan kebolehcapaian tidak terjejas bagi segmen berpendapatan rendah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan