Oleh Erma Idayu Mohd Yusop
BUTTERWORTH, 24 Dis (Bernama) -- Kebiasaannya orang ramai hanya berpeluang untuk melihat dekorasi sempena perayaan Krismas di pusat membeli-belah.
Namun senarionya berbeza apabila rumah milik sepasang suami isteri di Taman Teluk Molek di sini yang dihias indah sempena sambutan itu tular di media sosial sekali gus menarik kehadiran pengunjung pelbagai kaum.
D.Charles, 52, dan isterinya S.Christe, 47, menggunakan pelbagai jenis hiasan seperti lampu berwarna-warni, pokok Krismas, patung-patung Santa Claus dan pelbagai elemen dekorasi lain yang mencerminkan semangat perayaan.
Ia mencuri perhatian bukan sahaja jiran tetapi juga orang ramai yang melalui kawasan tersebut.
Charles yang merupakan seorang kontraktor berkata beliau dan isteri memilih untuk menghias rumah mereka sempena Krismas tahun ini kerana baru berpindah semula ke kediaman tersebut Ogos lepas selepas selesai pengubahsuaian.
Beliau berkata mereka membelanjakan kira-kira RM12,000 untuk mencantikkan bahagian luar dan dalaman rumah dengan hiasan yang menarik dan besar, seperti rangkaian lampu yang dipasang di sepanjang pagar, pokok-pokok di taman dan memasang replika Santa serta 'orang saljí'.
"Pada mulanya kami hanya dekorasi untuk seronok-seronok dan mencantikkan rumah sahaja sempena Krismas tahun ini kerana setiap tahun kami meraikan perayaan itu di luar negara, namun tahun ini memilih untuk raya di rumah yang baharu yang baru siap diubah suai.
"Namun seorang daripada jiran kami telah datang untuk melihat dekorasi dan dia juga mengambil video suasana tersebut sebelum muat naik di aplikasi TikTok dan menjadi tular sejak 10 Dis lepas, selepas itu setiap hari kami menerima kunjungan sehingga 200 orang dari pelbagai kaum untuk melihatnya," katanya kepada Bernama hari ini.
Lebih manis, katanya ada yang datang ke rumah mereka dengan membawa hadiah, makanan atau hamper untuk keluarganya bagi sambutan Hari Krismas esok.
Charles berkata berikutan kehadiran pengunjung yang semakin ramai sejak minggu lepas, beliau telah membeli mesin untuk menghasilkan salji tiruan dan memasangnya pada waktu malam bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai suasana Krismas seperti di luar negara.
"Suasana menjadi lebih meriah dan menarik apabila ada kawan-kawan saya yang berkongsi rezeki dengan menyumbang air pelbagai perisa kepada pengunjung yang hadir, macam semalam sebanyak 300 cawan air diberikan kepada mereka yang datang ke rumah kami," katanya yang teruja dan gembira setiap kali melihat orang ramai ke rumah mereka.
Sementara itu, Christe berkata orang ramai sanggup datang dari jauh semata-mata untuk melihat kediaman mereka selain mengabadikan kenangan menerusi gambar dan video serta memuat naik ke aplikasi media sosial sehingga meraih tontonan yang tinggi.
Beliau yang bekerja sebagai akauntan berkata lampu hiasan dibuka dari 6 petang hingga 1 pagi setiap hari sehingga sambutan Tahun Baharu 2025 dan beliau juga menyediakan beg cenderahati serta belon pelbagai bentuk sempena Hari Krismas untuk kanak-kanak yang datang.
"Kami gembira dan berbesar hati dengan kehadiran mereka yang datang jauh, ada datang dari Kelantan, Johor, Perak, Kedah dan setakat ini paling jauh dari Singapura, setiap hari lebih 200 beg dan esok sempena Krismas kami sediakan 400 beg," katanya yang mempunyai seorang anak lelaki S.Dohnaven, 20.
Beliau memberitahu semua dekorasi dan hiasan itu dibuat sendiri oleh beliau dan suaminya dengan menggunakan barang-barang yang dibeli dari luar negara.
"Rakyat Malaysia sebenarnya unik kerana walaupun tidak mengenali, tetapi sifat saling menghormati bagi setiap perayaan amat tinggi dan ia mengeratkan perpaduan antara satu sama lain," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial