AM

Bayi Dihanyut Ombak Tsunami Jadi Detik Mendebarkan Sehingga Saat Ini

25/12/2024 12:47 PM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

GEORGE TOWN, 25 Dis (Bernama) -- Pada 20 tahun lepas, gempa bumi berukuran 9.1 magnitud yang melanda pantai barat Sumatera Utara, Indonesia turut mengegarkan persisir pantai sekitar Pulau Pinang.

Peristiwa itu telah menyebabkan puluhan mangsa kebanyakan sedang mandi-manda dan berkelah di pantai termasuk di Batu Ferringhi, Balik Pulau dan Kuala Muda turut menjadi korban.

Detik mendebarkan berkenaan kekal terpahat dalam sanubari pasangan suami isteri  A. Suppiah, 75, dan L. Annalmary, 62, apabila bayi mereka S.Thulaashi yang ketika itu baru berusia 22 hari dihanyutkan ombak di Pantai Miami, Tanjung Bungah.

Gelombang ombak pertama muncul sejauh 600 kilometer dari Sumatera ke Pulau Pinang dengan kelajuan 800 kilometer sejam menghanyutkan Thulaashi yang nyenyak tidur di atas tilam di kafe keluarganya berhampiran pantai berkenaan.

Bagaikan satu keajaiban apabila gelombang kedua seolah-olah 'menghantarnya' kembali ke pantai dengan selamat dan sejak itu, Thulaashi yang 'tidur' sepanjang kejadian menjadi tajuk utama dunia sehingga mendapat jolokan 'Tsunami Miracle Baby'.

Mengimbau detik itu, ibu Thulaashi,  Annalmary berkata dia sedang berpantang ketika kejadian dan ombak tsunami menerjah kafe yang diusahakan bersama suaminya Suppiah.

 Annalmary berkata ketika itu Thulaashi sedang tidur dalam bilik di kedai manakala dia berada di bilik yang lain. 

"Kejadian berlaku sangat pantas dan masa ombak pertama, air dalam bilik tempat Thulaashi tidur cecah sehingga paras leher saya dan berusaha cari dia dalam bilik itu sambil berharap dia selamat.

"Selepas 40 minit, saya dan suami masih berusaha cari bayi kami namun gagal sehinggalah datang seorang lelaki Indonesia yang bekerja di sebuah tapak pembinaan tidak jauh dari kafe kami beritahu bayi selamat dan berada di atas tilam yang terdampar di pantai," katanya ketika ditemui Bernama di kafenya di Pantai Miami di sini.

Bagi Suppiah, peristiwa tsunami tidak mungkin dapat dilupakan sehingga akhir hayatnya kerana hampir kehilangan dua anaknya namun kuasa tuhan mengembalikan mereka dalam keadaan selamat.

Pesara kerajaan negeri itu berkata kejadian tersebut berlaku sekelip mata dan keadaan sangat kelam-kabut ketika itu dengan jeritan keluarga yang masing-masing berteriak dan menangis kerana ada ahli keluarga meninggal dunia.

Dia berkata air laut naik mendadak dan hanya sempat menyelamatkan seorang lagi anak perempuannya S. Kanchana yang berusia 12 tahun ketika itu. 

"Saya dan isteri panik serta menanggis apabila dapati Thulaashi hilang, kemudian kami diberitahu kami  bayi kami berada di tengah laut manakala Kanchana selamat dengan berpaut pada pokok pisang yang terletak kira-kira 10 meter dari kafe kami.

Suppiah berkata setiap kali tibanya 26 Dis saban tahun, dia dan keluarga mengadakan upacara menolak bala dan sembahyang bagi mengenang mangsa yang terkorban.

Sementara itu, Thulaasi yang kini berusia 20 tahun, berkata beliau bersyukur kerana selamat dan sehingga hari ini sentiasa berdoa diberikan kesihatan yang baik dan kehidupannya dirahmati tuhan.

“Saya mula mengetahui kisah tsunami yang diceritakan oleh bapa semasa berumur lingkungan empat dan lima tahun,” kata pelajar yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perakaunan di Universiti Sains Malaysia (USM). 

Beliau berkata upacara sembahyang juga menjadi amalan tahunan keluarga dan akan melakukannya selagi hayat dikandung badan. 

Thulaasi berkata beliau juga akan terus membantu di kafe milik keluarganya di Pantai Miami itu kerana lokasi berkenaan menyimpan pelbagai memori.

Ombak tsunami tercetus berikutan gempa bumi berukuran 9.3 pada skala Richter di bawah dasar laut ke barat pulau Sumatera, Indonesia pada 26 Dis 2004, meragut lebih 200,000 nyawa di Indonesia, Thailand, India, Maldives dan Sri Lanka.

Di Malaysia, Pulau Pinang antara negeri paling terjejas yang mencatatkan 52 daripada 68 kematian di seluruh negara.

Esok genap 20 tahun tragedi tsunami.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan