AM

Perhilitan Sahkan Kehadiran Harimau Berhampiran Kampung Orang Asli Sungai Choh

26/12/2024 10:12 PM

IPOH, 26 Dis (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima aduan berhubung serangan harimau belang terhadap lembu ternakan penduduk di kawasan berhampiran Kampung Orang Asli Sungai Choh, Ulu Kinta di sini semalam.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata pihaknya turut menemui kesan tapak kaki haiwan pemangsa itu berdekatan lokasi kejadian serta kecederaan yang terdapat pada bahagian badan lembu tersebut.

“Berdasarkan penelitian, kita yakin harimau belang yang menyerang lembu tersebut adalah dalam kategori dewasa.

“Bagaimanapun perincian lanjut berkenaan jantina dan berat hanya akan dapat kita ketahui melalui kamera yang dipasang anggota Perhilitan di kawasan lokasi kejadian (semalam),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 20 Dis tahun lepas, Perhilitan Perak berjaya menangkap seekor harimau belang jantan berusia empat tahun dan seberat 90 kilogram (kg) di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Tanjung Damai di sini, selepas haiwan itu dilihat berkeliaran di beberapa kawasan penempatan penduduk sekitar Ulu Kinta.

Yusoff berkata pihaknya meminta penduduk supaya mengawasi dan tidak membiarkan haiwan ternakan mereka bebas berkeliaran terutama di lokasi kejadian.

“Sebaiknya tempatkan haiwan ternakan dalam kandang dan jangan sesekali biarkan bebas berkeliaran kerana ia mengundang risiko kejadian serangan berulang,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan penduduk yang menggunakan laluan berhampiran kawasan serangan itu supaya berhati-hati dan tidak keluar berseorangan lebih-lebih lagi pada waktu malam.

“Sekiranya ternampak atau terserempak dengan harimau tersebut jangan ambil langkah yang boleh mengundang risiko sebaliknya laporkan kejadian kepada pihak kami,” katanya.

 -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan