JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Dua Rakan Disyaki Terlibat Aktiviti Dadah 

27/12/2024 08:48 PM

SEREMBAN, 27 Dis (Bernama) -- Polis menahan dua individu tempatan dan merampas beberapa paket dadah keseluruhan bernilai RM18,194 menerusi operasi pencegahan jenayah di Taman Dusun Nyiur, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata suspek lelaki yang bekerja sebagai buruh, manakala rakan wanitanya tidak bekerja berusia dalam lingkungan 38 hingga 54 tahun itu, ditahan kira-kira pukul 1 pagi.

“Ketika pemeriksaan, polis menemukan 12 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 151.15 gram (g), lapan peket plastik lutsinar dan satu bungkusan kertas putih berisi dadah jenis heroin seberat 96.84g, serta empat biji pil erimin 5.

“Selain itu, polis turut merampas dan menyita wang tunai berjumlah RM2,699,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) peruntukan yang sama.

Mohamad Hatta berkata kedua-dua individu berkenaan kemudian direman selama enam hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut, dan polis kini sedang mengesan rakan mereka yang lain.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan dengan aktiviti pengedaran dadah atau penyalahgunaan dadah untuk menyalurkannya kepada polis dengan menghubungi talian 06-603 2222 atau WhatsApp di 012-606 2702.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan