KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Duta Perpaduan Johor Lim San Shien dinobatkan sebagai Ikon Bahasa Melayu Negara yang terkini oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada Majlis Apresiasi Anugerah Citra DBP baru-baru ini.
DBP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan watikah bagi ikon bahasa berkenaan disampaikan oleh Sasterawan Negara yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Dr Anwar Ridhwan.
Lim yang juga pemimpin belia dilantik sebagai ikon bahasa, selepas menggapai kecemerlangan menakjubkan dalam bidang kebahasaan, kepimpinan dan program ilmiah yang secara konsisten mengangkat martabat bahasa, merancakkan perkembangan sastera serta mempromosikan budaya ilmu.
“Pengiktirafan ikon bahasa bertujuan memberi penghargaan kepada individu dalam pelbagai bidang yang menunjukkan rasa cinta, semangat dan ketekalan berterusan dalam memartabatkan dan menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik serta betul bagi menarik minat masyarakat mendekati bahasa dan sastera,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan penerima ikon bahasa yang lain ialah Fedtri Yahya, Roslan Madun, Haziq Rosebi, Dr Malar dan Boss James dengan kesemua Ikon Bahasa Negara diberikan watikah rasmi DBP serta wang tunai RM1,000.
Dalam kenyataan sama, Lim yang berasal dari Johor menzahirkan rasa kesyukuran dan gembira atas pengiktirafan berkenaan, dengan memberitahu minat dan kecenderungannya terhadap bahasa Melayu hasil pengaruh ibunya yang merupakan seorang guru Bahasa Melayu di sekolah kerajaan.
“Ibu saya menerapkan kepentingan bahasa kebangsaan dan saya mula menulis rencana ilmiah dan membaca akhbar serta majalah dalam usaha memperkayakan kosa kata dan meningkatkan tahap penguasaan bahasa,” kata Lim yang menghadiahkan pengiktirafan itu khas kepada ibu bapanya.
Menerusi pengiktirafan Ikon Bahasa Melayu Negara, pengamal undang-undang itu berazam untuk meningkatkan prestij dan martabat bahasa berkenaan sebagai lambang kemegahan dan identiti kebanggaan oleh semua rakyat Malaysia.
“Kini saya sudah menjadi Ikon Bahasa Melayu Negara, sudah tentu saya akan bersemangat dan proaktif untuk menampilkan kesantunan dan keindahan bahasa yang puitis dan memukau dalam pelbagai wadah.
“Saya cukup yakin dan percaya bahawa bahasa Melayu merupakan pemangkin perpaduan dan bahasa tahap antarabangsa yang memiliki keistimewaan luar biasa hingga dipelajari oleh penduduk seluruh dunia seperti Kursi Pengajian Melayu yang ditubuhkan di beberapa institusi di seluruh dunia seperti BFSU (Beijing Foreign Studies University) China, Ohio University di Amerika Syarikat, Leiden University di Belanda, Victoria University di New Zealand dan Hankuk University of Foreign Studies, Korea Selatan,” katanya.
Antara pencapaian graduan Universiti Malaya (UM) itu ialah pernah menjadi juri bagi Anugerah Seri Angkasa Negara, pemenang Kertas Persidangan Terbaik Dunia di Persidangan Pertukaran Undang-Undang Belia Antarabangsa, pembentang ilmiah di Pesta Buku Antarabangsa Selangor, juri utama Debat Farmasi Malaysia, panel untuk Pesta Buku Malaysia di Melaka dan panel forum sempena Hari Membaca Sedunia di Putrajaya.
Lim juga pernah menempa nama sebagai Siswa Terbaik (Kepimpinan) Kerajaan Negeri Johor, dinobat Pendebat Terbaik Liga Piala Debat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM serta juara Piala Simulasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial