KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Ismail akhirnya menamatkan spekulasi yang mengaitkan legenda bola sepak Australia Tim Cahill sebagai sebahagian daripada revolusi pasukan kebangsaan.
Dalam catatan Instagram Story malam ini, Tunku Mahkota Ismail menjelaskan bekas pemain tengah Everton itu bukan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya.
Sebaliknya, Cahill akan berkhidmat sebagai penasihat peribadinya untuk sukan dan perhubungan antarabangsa.
“Lelaki ini @tim_cahill bukan CEO skuad kebangsaan Malaysia. Dia penasihat peribadi saya untuk sukan dan perhubungan antarabangsa,” katanya dalam catatan yang memaparkan gambarnya bersama Cahill.
Sebelum ini, ramai yang membuat spekulasi bahawa Cahill akan terlibat dalam usaha merevolusikan skuad Harimau Malaya melalui unit khas, yang antara lain bertujuan khusus untuk memantau prestasi dan pengurusan pasukan bola sepak kebangsaan.
Spekulasi itu tercetus apabila gambar Cahill bersama Tunku Mahkota Ismail, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan CEO JDT Alistair Edwards dimuat naik di laman Facebook Tunku Mahkota Ismail pada Ogos lepas.
Awal hari ini, Tunku Mahkota Ismail yang merupakan bekas Presiden FAM dan terkenal dengan pengaruhnya dalam arena bola sepak tempatan, mengesahkan bahawa pemilihan calon CEO pasukan kebangsaan hampir selesai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial