AM

Op Khas Gempur Teknikal: JPJ Keluar 5,306 Notis Kesalahan Bagi Tempoh Lima Hari

29/12/2024 02:49 PM

SEREMBAN, 29 Dis (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 5,306 notis kesalahan terhadap kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam dalam Operasi Khas Gempur Teknikal bagi tempoh lima hari bermula 25 Dis lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan berkata notis itu termasuk penahanan kenderaan, arah periksa dan temu siasat susulan pemeriksaan ke atas 17,729 kenderaan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,787 kenderaan diambil tindakan dengan 16 kenderaan disita membabitkan 15 kenderaan perdagangan dan bakinya kenderaan perkhidmatan awam.

“JPJ bukan hendak cari kesalahan dengan mengeluarkan notis, cuma mahu memastikan jalan raya dalam keadaan terbaik selain pengguna juga dalam keadaan selamat," katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Gempur Teknikal di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah Selatan di sini hari ini.

Jana Santhiran berkata penggunaan tayar tidak sepatutnya atau tayar celup merupakan antara kesalahan yang dikenal pasti banyak dilakukan oleh kenderaan perdagangan termasuk lori dan treler.

Beliau berkata perkara itu antara yang difokuskan dalam operasi berkenaan selain memastikan brek berada dalam keadaan sempurna dengan tindakan termasuk menahan kenderaan daripada meneruskan perjalanan akan diambil sekiranya kesalahan terbabit dikesan. 

“Dalam pemeriksaan tadi, kita tengok ada yang menggunakan tayar celup, nak tercabut dah lapisan luar, jika ia tertanggal pastinya mengakibatkan bahaya kepada pengguna jalan raya, itu yang kita tidak mahu,” katanya.

Dalam pada itu, Jana Santhiran berkata JPJ kini menggerakkan lebih 1,500 anggotanya di seluruh negara bagi menumpukan penguatkuasaan terhadap kesalahan perdagangan termasuk lebih muatan, teknikal, dokumentasi dan lalu lintas terutama pada musim perayaan.

“Kita tingkatkan bilangan, kalau dulu (jumlahnya) kurang daripada 1,000 anggota yang kita kerah berada di jalan raya termasuk di lebuh raya, jalan perbandaran dan sebagainya terutama pada musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihati semua pemandu kenderaan berat untuk meletakkan kon atau halangan jalan raya sekiranya kenderaan mereka terpaksa dihentikan di laluan kecemasan akibat kerosakan bagi memberi isyarat kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Sebab baru-baru ini, beberapa kemalangan berpunca daripada pemandu lori tidak meletakkan kon di belakang untuk menunjukkan kenderaan mereka dalam kecemasan dan terpaksa dihentikan, saya harap semua pihak beri perhatian penuh kepada peraturan jalan raya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan