JENAYAH & MAHKAMAH

Suspek Op Pedo Beri Alasan Tak Tahu Simpan Bahan Lucah Kanak-kanak Satu Kesalahan - Ayob

29/12/2024 05:32 PM

IPOH, 29 Dis (Bernama) -- Kebanyakan individu yang ditahan dalam Op Pedo pada 23 Dis, memberi alasan tidak mengetahui perbuatan memiliki, menyimpan dan mengedar bahan lucah serta bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak (CSAM), merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata alasan tersebut dianggap tidak munasabah, kerana pelbagai kenyataan telah dikeluarkan pihak berwajib berkaitan perbuatan itu yang diklasifikasikan sebagai jenayah keganasan.

“Pihak polis akan terus mengenal pasti individu yang terlibat dalam aktiviti ini, termasuk memiliki atau mempromosikan bahan-bahan lucah.

“Operasi yang dilaksanakan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ini juga akan terus digiatkan bagi mengesan saki baki individu yang dipercayai terlibat (CSAM),” katanya selepas merasmikan penutupan Program Pemimpin Masa Depan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM 2024 di Empangan Sultan Azlan Shah di sini, hari ini.

Pada 23 Dis, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan 13 lelaki ditahan secara berasingan di enam negeri, kerana disyaki memiliki CSAM dalam talian dengan ke semua suspek berusia 20 hingga 74 tahun, diberkas di 18 buah premis di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.

Ayob Khan berkata pihaknya juga tidak menolak perbuatan keji itu tidak hanya berlaku di enam negeri tersebut sebaliknya melibatkan seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan