PUTRAJAYA, 30 Dis (Bernama) -- Program Confirm Ai, yang diterajui Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), menjadi platform untuk membangunkan kemahiran pelajar melalui teknologi pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Naib Canselor UNITEN Profesor Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata program Confirm Ai telah membantu pelajar mencapai kecemerlangan dalam akademik dan kemahiran berfikir kritis.
“Sejak pelancaran Confirm Ai, kami melihat peningkatan yang signifikan dalam prestasi pelajar, bukan sahaja dalam aspek akademik, tetapi juga dalam pembangunan kemahiran digital yang sangat penting dalam dunia masa depan.
“Dengan dunia yang semakin digital, amat penting untuk kita memberi peluang kepada pelajar untuk menguasai teknologi. Confirm Ai ialah satu contoh terbaik bagaimana teknologi boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan,” katanya semasa berucap pada Majlis Kecemerlangan Confirm Ai 2024 di sini baru-baru ini.
Beliau berkata sejak diperkenalkan, Confirm Ai telah berjaya menarik penyertaan puluhan ribu pelajar dan sekolah di seluruh negara.
Pencapaian itu turut disokong oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB), yang menaja penggunaannya di sekolah-sekolah dengan dana mencecah RM1.5 juta sejak 2016.
Program Confirm Ai ialah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) UNITEN di bawah Yayasan Canselor UNITEN bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar dengan memanfaatkan teknologi AI.
Projek Confirm Ai yang melibatkan aspek penyelidikan terutamanya dalam teknologi AI dijalankan bersama Innovation and Research Management Centre (iRMC) dengan sekolah-sekolah turut diberikan peluang melibatkan diri bagi pelaksanaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Confirm Ai bergerak bersama Marketing and Student Admission Department (MSA) melaksanakan program di sekolah, merangkumi akademik dan pembangunan sahsiah diri seperti bengkel kepimpinan, team building, peluang melanjutkan pelajaran dan motivasi diri.
Sementara itu, dalam majlis berkenaan turut diadakan penyampaian anugerah khas kepada sekolah dan individu yang telah menunjukkan kepimpinan dalam memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan pengalaman pendidikan.
Anugerah itu diberikan kepada sekolah-sekolah yang telah berjaya mengintegrasikan AI dalam kurikulum mereka, serta pelajar-pelajar yang menunjukkan prestasi luar biasa dalam pertandingan Maths Wizard Challenge 2024.
Dalam pertandingan Maths Wizard Challenge 2024, sebanyak 177 pelajar dari Malaysia mengambil bahagian yang mewakili lima peratus daripada jumlah keseluruhan peserta telah lulus ujian kelayakan.
Confirm Ai Maths Wizard Challenge 2024 turut menjadi tumpuan dalam majlis itu, dengan peserta terbaik dianugerahkan berdasarkan kejayaan mereka dalam menguasai matematik serta penggunaan teknologi digital dalam penyelesaian masalah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial