EKONOMI

Sarawak Tidak Anggap Lombong REE Sebagai Industri Utama Negeri

30/12/2024 08:42 PM

KUCHING, 30 Dis (Bernama) -- Sarawak tidak melihat keperluan untuk menjadikan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) sebagai industri utama meskipun tersenarai sebagai salah satu daripada 10 negeri yang berpotensi memiliki hasil REE yang tinggi, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata industri perlombongan tersebut boleh memberi kesan negatif kepada alam sekitar, sekali gus bertentangan dengan matlamat kerajaan negeri yang menekankan agenda ekonomi hijau.

"Kita tidak terdesak untuk menjalankan aktiviti perlombongan REE. Saya rasa kajian yang mendalam perlu dilakukan terlebih dahulu kerana perlombongan ini boleh memberi impak buruk kepada alam sekitar. Kita perlu memberi fokus kepada aktiviti ekonomi yang lain," katanya.

Abang Johari berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Yayasan Buah Pinggang, Perubatan dan Komuniti Che Hia Khor Moral Uplifting Society Sarawak (CHKMUS) di sini hari ini.

Media melaporkan rekod Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menyenaraikan Sarawak antara 10 negeri yang dikenal pasti berpotensi miliki REE dengan jangkaan nilaian sebanyak RM809.6 bilion selain Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Selangor.

Daripada jumlah itu, Terengganu merekodkan kawasan berpotensi paling luas, iaitu 575,000 hektar, diikuti oleh Kelantan (205,000), Perak (135,000), Pahang (100,000), Kedah (90,000), Johor (45,000) dan 10,000 hektar di Melaka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan