EKONOMI

Kenanga IB: Pinjaman Sektor Perbankan Diunjur Tumbuh 6.0 Peratus Pada 2025

03/01/2025 02:08 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Pertumbuhan pinjaman perbankan Malaysia diunjur pada 6.0 peratus pada 2025 dalam persekitaran ketidaktentuan dalam dasar perdagangan asing, kata Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Bank pelaburan itu berkata jangkaan itu hampir kepada sasaran 5.5 peratus hingga 6.0 peratus pada 2024 pinjaman kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 1.2 kali ganda (purata 10 tahun).

Buat masa ini, bank itu mengunjurkan kadar pertumbuhan sedikit perlahan sebanyak 4.8 peratus KDNK pada 2025 yang disebabkan oleh industri pembinaan berikutan kelewatan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

"Pelancaran hartanah baharu di Lembah Klang dan Pulau Pinang akan terus menyokong permintaan gadai janji isi rumah, walaupun pinjaman sewa beli dijangka mendatar berikutan jumlah penghantaran yang cemerlang dalam industri automotif iaitu sebanyak 800,000 kereta dalam tempoh dua tahun lepas.

"Sementara itu, pinjaman perniagaan kekal disokong oleh sektor perkhidmatan dalam industri borong, runcit dan hospitaliti," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Berkaitan pembuatan, ia dijangka didorong oleh modal kerja dan pinjaman berasaskan pengembangan dengan diterajui industri elektrik dan elektronik domestik, disokong oleh pelaburan langsung asing (FDI) yang baik.

Mengenai margin faedah bersih (NIM), Kenanga IB berkata institusi perbankan mungkin melihat pemulihan NIM yang berterusan dan akan mempunyai kedudukan yang lebih baik untuk menentukur semula sebaran keuntungan bagi menggiatkan semula NIM pada 2025.

"Daripada pelaporan suku ketiga 2024, kebanyakan bank dapat mengembangkan NIM mereka berikutan inisiatif pengurusan liabiliti yang lebih baik, termasuk rasionalisasi kadar deposit dan pertukaran mata wang asing.

"Walaupun suku keempat 2024 dijangka memberi tekanan kepada persaingan kadar deposit tetap bermusim akhir tahun, kami percaya bahawa 2024 mungkin mengalami seretan yang lebih rendah memandangkan nisbah liputan kecairan industri kekal sangat mencukupi pada 147 peratus setakat Oktober 2024," katanya.

Mengenai kadar dasar semalaman (OPR), bank pelaburan menjangkakan kadar itu kekal stabil pada 3.0 peratus.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan