AM

Program Bersih Pantai Monsun Terengganu Kumpul 15 Tan Sampah

04/01/2025 01:07 PM

KUALA NERUS, 4 Jan (Bernama) -- Sebanyak 15 tan sampah berjaya dikumpulkan dalam tempoh empat jam menerusi Program Bersih Pantai Monsun Terengganu 2024 di dua pantai hari ini.

Program itu dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan negeri dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) antaranya Geng Plastik Ija, Petronas, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Datuk Razali Idris berkata program itu bertujuan membersihkan sampah-sarap di dua lokasi yang menjadi tumpuan pelancong, iaitu Pantai Seberang Takir di sini dan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.

"Lebih 1,000 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar IPT, NGO, kakitangan kerajaan dan swasta bergotong-royong membersihkan kawasan pantai sepanjang 10 kilometer bermula 7.30 pagi tadi.

"Pada musim Monsun Timur Laut (MTL) lebih banyak sampah akan terkumpul di pantai selepas dihanyutkan ombak. Sampah-sarap ini kita kumpul mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan botol, kaca, kayu dan sebagainya diasingkan mengikut kategori masing-masing," katanya selepas Program Bersih Pantai Monsun Terengganu 2024 di Pantai Seberang Takir, di sini hari ini.

Sementara itu, Razali berkata walaupun MTL masih belum berakhir, pulau-pulau di Terengganu sudah mula dimasuki pelancong dari dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pengusaha chalet dan resort di pulau-pulau peranginan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

"Kerajaan negeri tidak pernah menutup operasi pulau peranginan kepada pelancong. Cuma ramai pengusaha yang memberhentikan seketika operasi untuk kerja-kerja pembaikan serta penyelenggaraan penginapan dan bot.

"Bermula pertengahan bulan lepas, industri pelancongan Terengganu sudah mula rancak. Kita jangkakan kedatangan pelancong tahun ini akan dapat mengatasi tahun lepas yang berjumlah 7.8 juta orang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan