KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan insiden kekecohan melibatkan warga Palestin yang berlaku di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) petang semalam, seperti yang tular di media sosial berpunca daripada keinginan mereka untuk mempercepatkan proses kembali ke Palestin.
ATM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kejadian yang berlaku pada pukul 5 petang itu bagaimanapun dapat dikawal dengan baik tanpa melibatkan sebarang pergaduhan atau kecederaan, hanya berlaku sedikit kerosakan terhadap perabot di WTKL.
“Sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu, pegawai dan anggota ATM yang bertugas telah bertindak untuk berbincang bersama warga Palestin yang terlibat. Situasi berkenaan dapat dikawal dengan baik
“Mereka kemudian bersurai kira-kira pukul 7.30 malam,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, ATM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan insiden itu.
Sejak petang semalam, tular beberapa video yang memaparkan kekecohan di pekarangan WTKL melibatkan warga Palestin hingga menyebabkan kerosakan di kawasan terbabit.
Pada Oktober tahun lepas, tular video memaparkan beberapa warga Palestin yang ditempatkan di WTKL melakukan kekecohan disebabkan segelintir daripada mereka tidak berpuas hati kerana diletakkan di pusat perlindungan berkenaan, selain mengehadkan pergerakan mereka.
Susulan itu, Duta Palestin di Malaysia Walid Abu Ali memohon maaf bagi pihak warga Palestin yang berada di Malaysia dan di tanah air atas kejadian berkenaan.
Pada 16 Ogos lepas, Malaysia membawa 127 warga Palestin termasuk 41 pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza serta dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, manakala saudara-mara lain ditempatkan di WTKL.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial