AM

hMPV Jangkitan Ulangan Bermusim Biasa, Tiada Keperluan Amaran Awam

06/01/2025 09:01 AM

Oleh Teh Kuan Hong

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Tiada keperluan untuk amaran awam atau panik mengenai Human Metapneumovirus (hMPV) kerana virus itu diketahui mempunyai pola pengulangan bermusim.

Ahli virologi molekul di Sekolah Perubatan dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah Universiti Monash Malaysia Prof Madya Dr B. Vinod berkata hMPV tidak mempunyai tahap jangkitan dan penyebaran tanpa gejala yang tinggi seperti mana COVID-19.

Dr Vinod berkata walaupun China mencatatkan lonjakan penyakit pernafasan bermusim termasuk hMPV, syncytial respiratory virus (RSV) dan influenza, tiada bukti yang menunjukkan ia boleh menyebabkan ancaman pandemik global seperti COVID-19.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kes jangkitan hMPV serta virus pernafasan lain yang telah wujud sebelumnya dan kedatangan pelancong tidak mungkin mewujudkan patogen baharu atau yang tidak dikenali kecuali pemantauan mengenal pastinya.

“Tidak seperti SARS-CoV-2 (yang menyebabkan COVID-19) pada 2020, hMPV tidak menular seluas itu tanpa gejala dan keseriusannya secara umum boleh diuruskan dalam populasi yang sihat,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Dr Vinod berkata kumpulan berisiko tinggi yang dikenal pasti dijangkiti hMPV termasuk bayi dan kanak-kanak terutamanya di bawah usia setahun, golongan warga emas yang mungkin mempunyai sistem imun lebih lemah, serta individu immunocompromised seperti mereka yang menjalani rawatan kemoterapi atau menghidap penyakit kronik.

“hMPV, COVID-19 (yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2) dan influenza ialah virus pernafasan tetapi berbeza dari segi tahap keseriusan dengan COVID-19 dan influenza (selesema) bermula dari tahap ringan hingga teruk.

“Sebaliknya, hMPV secara umumnya hanya menyebabkan penyakit pernafasan ringan hingga sederhana. Walau bagaimanapun, bagi golongan berisiko tinggi, ia boleh menyebabkan keadaan yang teruk seperti bronkitis atau radang paru-paru. Jangkitan hMPV lebih kerap berlaku pada penghujung musim sejuk dan musim bunga, sama seperti influenza," katanya.

Mengulas gejala hMPV, Dr Vinod berkata jangkitan virus ini biasanya menyerupai selesema biasa yang mungkin termasuk batuk, demam, hidung berair atau tersumbat, sakit tekak, nafas berbunyi, sesak nafas dan kadangkala ruam.

Beliau berkata hMPV merebak terutamanya melalui sentuhan langsung dengan rembesan berjangkit seperti air liur, titisan pernafasan apabila seseorang yang dijangkiti batuk atau bersin dan/atau menyentuh permukaan yang tercemar dengan virus dan kemudian menyentuh mulut, hidung atau mata sebelum mencuci tangan.

Untuk mengurangkan risiko jangkitan hMPV, Dr Vinod menasihatkan orang ramai supaya kerap mencuci tangan dengan sabun dan air sekurang-kurangnya 20 saat atau menggunakan pencuci tangan berasaskan alkohol serta mengelakkan daripada menyentuh mata, hidung atau mulut dengan tangan yang tidak dibasuh.

“Tutup mulut serta hidung dengan tisu atau lengan apabila batuk atau bersin, bersihkan serta nyahkuman objek dan permukaan yang sering disentuh secara berkala serta elakkan kontak rapat dengan orang lain apabila mengalami gejala pernafasan untuk mengelakkan penyebaran virus,” katanya.

Sebagai langkah pencegahan tambahan, Dr Vinod mencadangkan agar pihak berkuasa kesihatan mendidik orang ramai mengenai hMPV, gejalanya, cara penyebaran, langkah pencegahan, serta memastikan kemudahan kesihatan bersedia dengan baik untuk menguruskan peningkatan kes jangkitan pernafasan, termasuk bekalan dan protokol yang mencukupi.

Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan data Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan makmal hospital kementerian menunjukkan terdapat 327 sampel diuji positif hMPV tahun lepas, meningkat daripada 225 pada 2023.

Walau bagaimanapun, KKM berkata jangkitan hMPV tidak wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kerana ia bukan penyakit baharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan