IPOH, 7 Jan (Bernama) -- Seorang pegawai polis hari ini mengesahkan menerima beberapa barang kes seperti rakaman video kamera litar tertutup dan kamera papan pemuka kenderaan, pakaian mangsa serta laporan polis dan kimia berhubung kes kenderaan yang dipandu seorang pegawai kanan polis melanggar motosikal ditunggang seorang pelajar pada Disember 2023.
Saksi ke-32 Inspektor Chua Sze Yuan yang merupakan pegawai penyiasat pertama daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berkata kesemua bahan bukti itu diambil daripada Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Jong Pit Chao pada 16 Dis 2023 iaitu selepas hari kejadian perlanggaran.
“Saya boleh cam rakaman kamera litar rumah No. 92, Laluan Meru Indah, G2, Gerbang Meru Indah, Ipoh, Perak dan saya boleh cam rakaman kamera litar rumah alamat No. 19, Laluan F2 Gerbang Meru Indah (1 Meru) Ipoh tersebut.
"Saya kemudiannya telah menyimpan semua barang kes di dalam kabinet untuk pakaian dan peti sejuk untuk spesimen darah dan air kencing di dalam bilik saya yang berkunci dalam keadaan selamat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada perbicaraan kes Mohd Nazri Abdul Razak, 46, pegawai polis berpangkat DSP yang didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini, antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Dis 2023.
Chua berkata bagaimanapun pada 18 Dis 2023 pihaknya telah menerima arahan untuk kertas siasatan berkenaan diambil alih ASP S Dasarathan namun beliau masih diminta untuk membantu pegawai penyiasat tersebut.
"Pada 19 Dis 2023, saya telah terima arahan daripada ASP Dasarathan untuk membantu beliau bagi menghantar rakaman CCTV ke Makmal Forensik PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk barang kes tandaan AC1 dan AC2 dan spesimen darah ke Jabatan Kimia Petaling Jaya,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz manakala Mohd Nazri diwakili peguam M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman serta peguam pemerhati Syaheera Rosli.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial