EKONOMI

JS-SEZ Permulaan Transformasi Era Baharu Hubungan Ekonomi Malaysia-Singapura

08/01/2025 12:28 AM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 7 Jan (Bernama) -- Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dimeterai hari ini dijangka menjadi permulaan kepada tranformasi era baharu hubungan ekonomi antara Malaysia dan Singapura.

Timbalan Presiden Dewan Teraju Usahawan dan Peniaga Bumiputera Negeri Johor Zaini Atan berkata inisiatif itu juga bakal menyaksikan kepesatan pembangunan ekonomi yang akan memberi manfaat kepada usahawan dan peniaga daripada pelbagai sektor di negeri ini.

“Kita menyambut baik inisiatif JS-SEZ sejak ia diumum yang mana kita menjangkakan ia akan menjadi ‘jump start’ (permulaan) kepada pembangunan ekonomi di Johor.

“Semua sektor juga pastinya ternanti-nanti pelan perancangan kerajaan dan perincian menyeluruh berhubung bagaimana ia akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya semasa dihubungi Bernama hari ini. 

Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri perlu mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri terlibat termasuk persatuan usahawan, peniaga serta penjaja bagi memberikan penerangan tentang hala tuju dan perkongsian pendapat berhubung JS-SEZ.

Zaini turut berharap agar inisiatif berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada kemajuan perniagaan khususnya golongan bumiputera, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

“Kita harap usahawan dan peniaga bumiputera diberi keutamaan dan perhatian, kerana kita mahu melihat golongan ini turut memainkan peranan dalam menjayakan JS-SEZ dan mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Senada dengan Zaini, Presiden Persatuan Perniagaan dan Penjaja Johor Bahru Roland Lim  berkata JS-SEZ mampu menjadi penyokong kepada usahawan dan peniaga dalam menghadapi cabaran serta ketidaktentuan ekonomi global ketika ini. 

Bagaimanapun beliau berharap agar kerajaan negeri dapat menangani sebarang kebarangkalian yang bakal berlaku seperti kenaikan harga barang atau sewaan kesan daripada kepesatan pembangunan ekonomi di negeri itu.

“Kita di Johor bertuah kerana terus berkembang maju ditambah dengan kedudukan yang strategik bersebelahan Singapura. Bagaimanapun, pelbagai perkara perlu diambil kira seperti kenaikan harga barang dan sebagainya daripada kepesatan pembangunan dan ekonomi global,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar lbrahim dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong hari ini menyaksikan pertukaran perjanjian bersama antara Malaysia dan Singapura mengenai JS-SEZ selain enam memorandum persefahaman (MOU) dan satu surat niat (LOI).

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebelum ini dilapor berkata JS-SEZ akan meliputi seluruh kawasan Iskandar Malaysia termasuk kawasan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Pengerang dengan keseluruhan keluasan 3,505 kilometer persegi.

JS-SEZ merangkumi kawasan di bawah enam pihak berkuasa tempatan di Johor iaitu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Pengerang dan sebahagian daripada Majlis Perbandaran Pontian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan