EKONOMI

Acara Siri CEO 2025 REHDA Pacu Prospek Hartanah, Ekonomi Malaysia

08/01/2025 05:12 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Penganjuran acara Siri CEO Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) 2025 yang dijadualkan pada 16 Jan, 2025, berupaya menjadi pemacu sektor hartanah dan ekonomi Malaysia.

Persidangan pemaju hartanah tahunan itu dijangka menarik penyertaan lebih daripada 350 pihak berkepentingan kanan, termasuk wakil sektor swasta dan pihak berwajib.

Dalam kenyataannya hari ini, REHDA berkata persidangan itu antara lainnya menyelami prospek ekonomi 2025 Malaysia, impak Belanjawan 2025 ke atas hartanah dan ekonomi selain peranan digital terhadap sektor pembinaan dan hartanah.

“Siri CEO REHDA 2025 itu juga bertujuan menjadi platfrom bagi kalangan pembuat keputusan untuk saling bertukar-tukar pandangan, menangani cabaran ketara serta meninjau peluang sempena peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya.

Pada masa sama, persidangan itu turut meneliti perkembangan penting seperti hasil daripada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 di Putrajaya pada 11 Jan, 2025.

Ini termasuk kenyataan pemimpin Malaysia-Singapura mengenai kerjasama membabitkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang dijangka menarik pelaburan serta mewujudkan 20,000 pekerjaan mahir dalam tempoh lima tahun.

Dalam pada itu, acara Siri CEO 2025 akan turut mengetengahkan perbincangan berimpak serta ucaptama oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Tidak ketinggalan, kehadiran pemimpin terkemuka sektor hartanah dan ekonomi, termasuk wakil dari Colliers (Hong Kong), Charter Keck Kramer (Australia), Savills (Vietnam) dan Moody's Analytics (Singapura) yang akan berkongsi kepakaran mereka.

Siri CEO 2025 mendapat sokongan pemain industri utama seperti Pertubuhan Arkitek Malaysia; Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia; Institut Ejen Harta Tanah Malaysia; GreenRE; Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Hartanah di Sektor Swasta, Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia serta pihak lain.

Menurut REHDA, persidangan itu disediakan khusus bagi kalangan profesional pengurusan peringkat pertengahan hingga kanan, termasuk perunding, penggubal dasar, pakar industri, pemaju hartanah dan pemimpin perniagaan yang memainkan peranan dalam membentuk landskap ekonomi dan hartanah Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan