DUNIA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

09/01/2025 11:32 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives terus ditutup lebih rendah pada Khamis, kata penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa.

Beliau berkata, hal ini disebabkan berlaku penurunan besar dalam kontrak niaga hadapan minyak sawit olein di Dalian Commodity Exchange (DCE) dan kontrak minyak soya.

Menurut Sathia, penurunan ini tidak terkawal dan memberi tekanan ke atas niaga hadapan minyak sawit selain menghapuskan lebih RM120 setiap tan pada awal sesi dengan kontrak Mac yang paling aktif merosot ke paras terendah dalam tempoh tiga bulan sebelum mengurangkan beberapa penurunan.

Beliau berkata tumpuan utama adalah pada data Disember dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia, yang dijangka dikeluarkan petang esok.

"Peniaga menjadi cemas menjelang data industri dan pemeriksa kargo yang penting dijangka dikeluarkan esok, membawa kepada penjualan panik akibat kekurangan asas positif untuk mengehadkan penurunan dan merangsang pembelian yang berterusan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng pula berkata harga MSM ditutup lebih rendah disebabkan oleh kelemahan di pasaran minyak soya Chicago dan harga minyak sawit olein DCE yang lebih rendah.

"Kami melihat paras sokongan pada RM4,200 dan paras rintangan pada RM4,400 satu tan," kata Ng kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Januari 2025 menurun sebanyak RM76 kepada RM4,635 setiap tan, kontrak Februari 2025 merosot RM45 kepada RM4,459 setiap tan dan kontrak Mac 2025 susut RM58 kepada RM4,296 setiap tan.

Sementara itu, kontrak April 2025 turun RM75 kepada RM4,187 setiap tan, kontrak Mei 2025 merosot RM89 kepada RM4,113 setiap tan dan kontrak Jun 2025 susut RM93 kepada RM4,075 setiap tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 106,194 lot berbanding 78,596 lot semalam manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 225,556 kontrak berbanding 227,006 kontrak.

Harga MSM fizikal untuk Januari Selatan turun sebanyak RM50 kepada RM4,700 setiap tan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan