AM

CECCM Main Peranan Penting Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui, kenderaan Autonomi

09/01/2025 11:40 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Dewan Perniagaan Perusahaan China di Malaysia (CECCM) memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan beberapa sektor utama di negara ini termasuk tenaga boleh diperbaharu dan kenderaan autonomi.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata ramai ahli CECCM yang mempunyai kepakaran telah melabur dalam tenaga boleh diperbaharui, membangunkan teknologi mesra alam dan memajukan amalan yang dapat mengurangkan jejak karbon.

“Di seluruh Malaysia, kami sedang berusaha untuk menghadapi cabaran perubahan iklim dan membina ekonomi lebih hijau serta berdaya tahan. CECCM turut terlibat dalam bidang ini. Usaha ini bukan sahaja baik untuk planet tetapi juga bagi perniagaan.

“Mereka (melalui usaha itu) membantu menempatkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam kelestarian dan teknologi hijau,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan CECCM 2024 di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Sri Tiong King Sing, Presiden CECCM Ni Qingju dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Loke berkata dengan kepakaran CECCM dalam penyelesaian mobiliti termaju, ia juga memainkan peranan penting untuk masa depan mobiliti di Malaysia.

“Masa depan mobiliti satu daripada bidang paling menarik dan Malaysia sedang bersedia dengan menyediakan rangka kerja perundangan bagi kenderaan autonomi - satu langkah yang menunjukkan kesediaan untuk menerima inovasi dan mewujudkan sistem pengangkutan bersesuaian untuk abad ke-21.

“Kenderaan autonomi bukan sahaja mengenai kemajuan teknologi tetapi menjadi bukti pendekatan berwawasan Malaysia dan isyarat kepada dunia bahawa kita bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan. Melalui  kerjasama dengan CECCM, kita boleh membina infrastruktur dan sistem yang bukan sahaja mencerminkan di mana kita berada tetapi juga pencapaian yang kita impikan,” katanya.

Loke berkata inisiatif Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga telah membuka peluang kepada ahli CECCM yang terlibat dalam pembinaan rel, logistik dan teknologi untuk menyumbang dalam membentuk masa depan infrastruktur di Malaysia.

“Bersama-sama kita boleh memastikan Malaysia tidak hanya seiring dengan perubahan dunia - malah kita yang menerajuinya. Itulah kuasa kesalinghubungan yang mendekatkan kita dan mengukuhkan asas kemakmuran bersama,” katanya.

Loke berkata ketika hubungan diplomatik Malaysia-China meraikan ulang tahun ke-50 pada tahun lepas, hubungan kedua-dua negara disifatkan telah berakar umbi dalam kesaksamaan dan saling menghormati. 

“… apabila Malaysia berkembang maju dan apabila rakan kongsi kita berkembang maju, kita semua capai kemenangan. Itulah intipati kerjasama sebenar …,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan