Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- FBM KLCI kembali pulih daripada penurunan semalam dan ditutup tinggi sedikit pada Jumaat, dipacu oleh belian pada harga rendah saham perbankan dan telekomunikasi, meskipun prestasi lemah dalam bursa serantau.
Pada 5 petang, indeks penanda aras itu naik 1.60 mata atau 0.10 peratus kepada 1,602.41 daripada 1,600.81 ketika ditutup pada Khamis.
FBM KLCI dibuka 2.73 mata lebih tinggi pada 1,603.54 dan bergerak antara 1,599.71 dan 1,605.74 sepanjang sesi dagangan.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 530 daripada 443, manakala 551 kaunter tidak berubah, 845 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mengecil kepada 2.52 bilion unit bernilai RM2.42 bilion berbanding 3.49 bilion unit bernilai RM2.93 bilion semalam.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata indeks penanda aras kekal stabil, mencerminkan sentimen pelabur yang semakin baik berikutan reaksi negatif pasaran terhadap cadangan sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI) oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden.
Beliau berkata kebimbangan itu dibangkitkan oleh Majlis Perindustrian Teknologi Maklumat yang berpangkalan di Washington D.C, yang mengkritik peraturan itu kerana ia berpotensi mengehadkan daya saing syarikat AS dalam pasaran global, dan ini mungkin telah mengurangkan sedikit tekanan ke atas pasaran ekuiti Malaysia.
Bagaimanapun, sentimen pasaran meluas kekal tidak menentu yang dipengaruhi data ekonomi global yang lemah. Data inflasi China yang dikeluarkan semalam memenuhi jangkaan pada 0.1 peratus tahun ke tahun pada Disember.
“Tatkala pelabur memantau dengan teliti potensi rangsangan untuk memulihkan permintaan domestik China, kelewatan tindakan segera daripada penggubal dasar China melemahkan keyakinan.
"Ketidaktentuan ini terus mempengaruhi dinamik pasaran serantau, walaupun FBM KLCI telah menunjukkan daya tahannya," katanya kepada Bernama.
Selain itu, Mohd Sedek berkata pasaran juga akan memberi tumpuan kepada data senarai gaji bukan ladang Disember yang akan dikeluarkan lewat hari ini.
"Jumlah pekerjaan dan kadar pengangguran berkemungkinan akan memberikan pandangan kritikal mengenai hala tuju dasar Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), yang berpotensi mempengaruhi sentimen global pada sesi akan datang," katanya.
Di peringkat serantau, Komposit SSE China susut 1.33 peratus kepada 3,168.52, Nikkei 225 Jepun turun 1.05 peratus kepada 39,190.40, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.92 peratus kepada 19,064.29 dan Indeks Straits Times Singapura turun 1.58 peratus kepada 3,801.56.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB naik tujuh sen kepada RM8.18, YTL Power menokok lima sen kepada RM4.25, Maxis naik empat sen kepada RM3.65, manakala Sunway dan Sime Darby masing-masing turun satu sen kepada RM4.62 dan RM2.23. Telekom Malaysia tidak berubah pada RM6.55.
Untuk saham cergas, MYEG meningkat 4.5 sen kepada 96.5 sen, Top Glove naik tiga sen kepada RM1.23, Vanzo meningkat setengah sen kepada 19.5 sen, Nationgate turun 17 sen kepada RM2.45 dan Swift Energy turun 3.5 sen kepada 38.5 sen, manakala Cape EMS tidak berubah pada 35.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 8.10 mata kepada 12,302.77, Indeks FBMT 100 naik 6.05 mata kepada 11,983.84, dan Indeks FBM ACE meningkat 43.64 mata kepada 5,353.47, manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 10.10 mata kepada 12,250.74 dan Indeks FBM 70 susut 12.58 mata kepada 18,467.54.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.04 mata kepada 170.66, tetapi Indeks Tenaga susut 2.02 mata kepada 833.30, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 70.76 mata kepada 18,924.54 dan Indeks Perladangan merosot 22.74 mata kepada 7,510.62.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.45 bilion unit bernilai RM2.19 bilion berbanding 1.83 bilion unit bernilai RM2.59 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 678.03 juta unit bernilai RM68.55 juta berbanding 1.07 bilion unit bernilai RM108.46 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 390.05 juta unit bernilai RM159.37 juta daripada 583.14 juta unit bernilai RM229.70 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 158.35 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (393.27 juta), pembinaan (83.02 juta), teknologi (232.95 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (45.27 juta), hartanah (172.31 juta), perladangan (33.96 juta), REIT (6.89 juta), dana tertutup (35,900), tenaga (67.47 juta), penjagaan kesihatan (90.16 juta), telekomunikasi dan media (59.76 juta), pengangkutan dan logistik (25.59 juta), utiliti (78.29 juta), dan amanah perniagaan (955,900).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial