AM

Seramai 496,541 Pelajar Terima Manfaat BAP Di Sabah

13/01/2025 12:41 PM

KOTA KINABALU, 13 Jan  (Bernama) -- Seramai 496,541 pelajar bakal menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) melibatkan peruntukan lebih RM74,481,150 untuk diagihkan ke 1,295 sekolah di seluruh Sabah.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Ruji Ubi berkata bantuan berkenaan mampu memastikan setiap murid mempunyai peluang dan keupayaan sama untuk memulakan sesi persekolahan selain sebagai dorongan mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan.

"Saya menyeru ibu bapa atau penjaga dan murid yang menerima manfaat BAP 2025 untuk meningkatkan motivasi murid bagi terus membina kecemerlangan agar menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Tahun 2025 bagi negeri Sabah yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya di Sekolah Kebangsaan Sembulan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ruji meminta semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah dapat menyelesaikan agihan bantuan berkenaan dalam tempoh seminggu sebelum sesi persekolah berakhir.

"Diingatkan juga kepada semua pengetua dan guru besar, tiada sebarang potongan atau kutipan bayaran diambil daripada BAP ini. KPM berharap maklumat ini jelas dan difahami. 

"Dalam tempoh seminggu ini kita akan memantau untuk memastikan bantuan ini dapat diagihkan dengan baik tanpa sebarang masalah," tambahnya.

Ruji juga meminta ibu bapa segera membuat laporan kepada PPD atau Jabatan Pendidikan Negeri sekiranya terdapat potongan yang dilaksanakan oleh sekolah.

Mengulas mengenai sekolah daif di Sabah, beliau berkata sebanyak 122 projek sekolah daif diluluskan bagi pada 2025 dan daripada jumlah ini 52 projek adalah di Sabah, dan tumpuan akan diberikan bagi memastikan kesemua projek dapat dilaksanakan dalam tahun semasa.

"Peruntukan yang diluluskan bagi tujuan infrastruktur KPM seluruh negara sebanyak RM6.3 bilion dan  peruntukan berkaitan Infrastruktur bagi negeri Sabah berjumlah RM1 bilion.

“Agihan peruntukan kepada  Sabah  bermatlamat memastikan kemudahan infrastruktur dalam keadaan baik serta kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran," tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan