AM

PIL1 Kunci Pertumbuhan Mampan, Ketersambungan Pulau Pinang - Exco

13/01/2025 05:22 PM

GEORGE TOWN, 13 Jan (Bernama) -- Projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL1) merupakan projek infrastruktur penting yang bertujuan menyokong matlamat perancangan bandar jangka panjang Pulau Pinang, mengatasi kesesakan lalu lintas, dan meningkatkan ketersambungan di seluruh pulau.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata PIL1 merupakan asas bagi pertumbuhan dan pembangunan mampan di negeri itu.

“Pembangunan bandar Pulau Pinang yang pesat terutama pengembangan ke arah selatan dari George Town, telah melebihi keupayaan rangkaian jalan sedia ada.

"Jalan Masjid Negeri (Green Lane), yang pada asalnya direka sebagai Jalan Lingkaran Tengah, kini sesak teruk dan lebih berfungsi sebagai jalan akses tempatan berbanding laluan penyuraian trafik. Penyelesaiannya adalah dengan membina Jalan Lingkaran Luar seperti PIL1, yang akan dibina secara strategik di luar kawasan pembangunan padat George Town bagi mengalihkan trafik dan mengurangkan kesesakan dengan lebih berkesan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, aktivis menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan pembinaan PIL1, memberi amaran bahawa ia mungkin memberi kesan kepada potensi jumlah penumpang sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang dirancang di Pulau Pinang.

Zairil berkata  PIL1 berfungsi sebagai jalan pintasan strategik, yang menghubungkan dengan lancar rangkaian pengangkutan lebih luas Pulau Pinang, termasuk jalan pintasan Ayer Itam–Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang sedang dibina.

Beliau berkata PIL1 akan menyediakan laluan alternatif kepada jalan yang sesak seperti Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan Jalan Masjid Negeri, serta dengan enam persimpangan yang menghubungkan Gurney ke tenggara pulau, projek berkenaan dijangka mampu mengurangkan beban di jalan raya sedia ada dan meningkatkan pergerakan penduduk dan perniagaan.

“Pulau Pinang berhasrat untuk mencapai 40 peratus perkongsian mod pengangkutan awam dan projek LRT yang sedang dibina merupakan langkah utama ke arah pencapaian ini. Meskipun sasaran ini tercapai, 60 peratus daripada populasi masih akan bergantung kepada pengangkutan jalan raya.

"Hal ini menunjukkan betapa pentingnya pembangunan infrastruktur rel dan jalan raya memandangkan kedua-dua mod pengangkutan ini saling melengkapi, bukannya saling menjejaskan dengan masing-masing memainkan peranan yang berbeza dan memenuhi permintaan pasaran yang khusus. Jangan kita lupa, bas juga menggunakan jalan raya," katanya.

Zairil menyatakan bahawa Singapura merupakan contoh yang berjaya bagi pendekatan bersepadu itu, walaupun dengan perkongsian mod pengangkutan awam sebanyak 70 peratus, negara itu tetap melabur dalam infrastruktur jalan raya untuk memenuhi keperluan penduduk dan ekonomi.

Berkaitan kebimbangan bahawa PIL1 mungkin mengurangkan jumlah penumpang LRT, beliau berkata kedua-dua projek terbabit mempunyai laluan dan kawasan perkhidmatan yang berbeza, masing-masing memenuhi keperluan pengangkutan yang khusus.

Beliau berkata PIL1 melengkapi perkhidmatan LRT dan bukan bersaing dengannya, memastikan sistem pengangkutan yang terintegrasi untuk memenuhi pelbagai keperluan pergerakan.

Bagi menangani kebimbangan terhadap alam sekitar, Zairil berkata Pulau Pinang telah mengguna pakai penyelesaian kejuruteraan mampan dan mesra alam untuk PIL1, termasuk terowong dan jambatan kabel teguh.

Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) katanya akan dikemas kini dengan data terkini dan dihantar semula untuk disemak bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian alam sekitar.

PIL1 juga akan meningkatkan akses ke pusat ekonomi dan perindustrian utama, termasuk Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas (FIZ) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. FIZ, yang diiktiraf di peringkat global sebagai pusat untuk teknologi dan pembuatan bernilai tinggi, memainkan peranan penting dalam ekonomi Pulau Pinang.

Zairil berkata sokongan daripada Kementerian Ekonomi terhadap PIL1 menunjukkan kepentingannya dalam menentukan hala tuju Pulau Pinang ke arah masa depan yang mampan dan makmur. Dengan menyeimbangkan pembangunan dan pemuliharaan, PIL1 akan memastikan Pulau Pinang kekal sebagai negeri yang dinamik, berdaya tahan, dan berdaya saing di peringkat global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan