Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan sentimen pasaran yang berhati-hati disebabkan laporan data penggajian bukan perladangan (NFP) Amerika Syarikat (AS) yang kukuh bagi Disember 2024.
Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.5080/5120 berbanding dolar AS daripada 4.4945/5000 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
NFP AS meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh sembilan bulan iaitu 256,000 pekerjaan pada Disember berbanding 212,000 pekerjaan pada November, didorong peningkatan pekerjaan yang meluas dalam kebanyakan sektor kecuali sektor pembuatan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pencapaian kukuh NFP menunjukkan Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka mengekalkan kadar faedah tidak berubah apabila bersidang pada 28 hingga 29 Januari ini.
“Mereka mungkin ingin mengekalkan kadar Dana Fed yang stabil pada tahap semasa untuk mengekang risiko inflasi yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata penyusutan ringgit adalah sejajar dengan mata wang Asia, terutamanya disebabkan kesan daripada data pekerjaan AS yang kukuh pada Jumaat, yang telah menyebabkan kadar AS lebih tinggi dan "penurunan" dalam pasaran bon, dengan bon jangka pendek paling banyak terkesan.
“Ini mencerminkan keraguan yang semakin meningkat mengenai jangkaan pengurangan kadar Fed. Keraguan ini boleh menjadi lebih ketara sekiranya Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada minggu ini memperlihatkan data lebih tinggi.
“Sekiranya data IHP kukuh, ini mungkin mengurangkan lagi peluang kepada penurunan kadar faedah dalam masa terdekat, sekali gus memberi tekanan kepada ringgit. Pandangan mengenai tarif yang dikenakan dalam masa kurang dua minggu juga adalah negatif,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan dagangan, ringgit kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama lain.
Ringgit naik berbanding euro kepada 4.5964/6004 daripada 4.6298/6355 pada Jumaat lepas dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4592/4640 daripada 5.5296/5364 minggu lepas namun merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8706/8733 daripada 2.8461/8497 sebelum ini.
Mata wang tempatan turut diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit naik berbanding baht Thailand kepada 12.9440/9618 daripada 12.9824/13.0043 semasa ditutup sebelumnya dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 276.8/277.2 daripada 277.5/278.0 pada Jumaat lepas.
Ringgit turut menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2788/2822 daripada 3.2843/2888 Jumaat lepas dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.68/7.69 daripada 7.70/7.71
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial