KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 semalam telah menganjurkan program MALBATT Medic Care Day, di Malaysian Hall, Municipality Building of Marakah, Lubnan bertujuan memberi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat di negara itu yang terkesan akibat konflik negara.
MALBATT memaklumkan program berkenaan, yang menawarkan pemeriksaan kesihatan umum dan rawatan pergigian telah mendapat sambutan menggalakkan dengan 158 warga tempatan telah mendaftar untuk mendapatkan yang disediakan.
Selain itu, aktiviti untuk kanak-kanak turut diadakan dalam usaha memberikan peluang kepada warga tempatan berinteraksi dalam suasana positif bersama warga MALBATT selain memperkukuhkan keharmonian di antara golongan muda dan masyarakat setempat.
“Sambutan yang diterima adalah amat menggalakkan, penduduk daripada pelbagai lapisan umur hadir pada program ini sekali gus mencerminkan kepercayaan tinggi mereka terhadap komitmen dan keberadaan MALBATT dalam membantu mereka yang memerlukan,” menurut MALBATT dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada masa yang sama, penglibatan anggota pengaman wanita MALBATT turut memberi impak yang besar dan positif dalam kejayaan program itu, khususnya dalam membina hubungan dengan golongan wanita dan kanak-kanak, sejajar dengan keperluan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Program MALBATT Medic Care Day merupakan satu daripada aktiviti yang dirangka dalam program Civil-Military Cooperation (CIMIC), yang bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada penduduk tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara pasukan MALBATT, masyarakat Lubnan, dan misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial