AM

Pesta Ponggal Disambut Meriah, Penuh Tradisi

14/01/2025 05:28 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Pesta Ponggal yang disambut semua penganut Hindu dan masyarakat India di Malaysia hari ini, diraikan dalam suasana meriah dan penuh tradisi tidak kira di kediaman mahupun kuil di beberapa negeri.

Di PULAU PINANG, perayaan Ponggal disambut meriah di kebanyakan rumah masyarakat India dan kuil di negeri ini sejak awal pagi tadi termasuk di Kuil Sri Visvanathan Sri Visalatchi, Bayan Baru sebagai tanda mengucapkan syukur atas hasil tuaian yang melimpah-ruah dan memohon kemakmuran.

Pengerusi Malaysia Hindu Sangam Pulau Pinang (MHSPSC) A Tharman berkata perayaan yang diraikan dengan memasak hidangan tradisional dipanggil Ponggal iaitu nasi manis juga akan diadakan secara meriah di 12 kawasan di seluruh Pulau Mutiara itu bermula hari ini.

“Sambutan dimulakan di Kuil Dewi Arulmigi annai Maha Araikasiamman, Sungai Bakap diikuti di semua 12 majlis MHSPSC termasuk Bukit Bendera, Tanjung Bungah, Seberang Jaya, Butterworth, Gelugor, Ayer Itam, Batu Kawan, Bukit Mertajam dan Nibong Tebal yang berlangsung selama sebulan hingga 16 Feb depan.

“Sambil kita meraikan kelimpahan alam semula jadi dan menghargai hasil tuaian yang banyak, kita juga harus bersama sebagai satu komuniti, berkongsi kasih sayang, kedamaian dan kebahagiaan selain semangat perpaduan terus membimbing ke arah masa depan lebih cerah,” katanya kepada Bernama.

Di MELAKA, perayaan Ponggal disambut kira-kira 350 penduduk masyarakat Chetti di Kampung Chetti  yang diraikan dengan penuh adat dan tradisi di rumah masing-masing manakala Kuil Sri Kailasanathar turut menjadi tumpuan selama empat hari bermula semalam.

Ahli Jawatankuasa Kampung Chetti S Kanagalingam Pillay berkata sambutan empat hari berkenaan melibatkan pelbagai peringkat umur termasuk meraikan anak dara masyarakat itu menerusi upacara 'Kanni Ponggal' iaitu pada hari terakhir sambutan perayaan tersebut.

"Semalam merupakan upacara kemuncak perayaan Ponggal iaitu upacara 'Parchu Bhogi' atau sembahyang arwah dan upacara itu dilakukan di rumah masing-masing. Selain itu, pelbagai masakan Chetti antaranya kari ayam, nasi lemak, sambal telur ikan dan pelbagai jenis sayuran disajikan pada upacara itu," katanya.

Beliau berkata hari kedua sambutan perayaan itu hari ini akan melibatkan upacara memasak nasi susu dicampur dengan gula Melaka yang dilaksanakan di kuil kampung berkenaan dan upacara 'Mattu Ponggal' iaitu perarakan lembu akan diadakan esok.

Di JOHOR, perayaan Ponggal di beberapa daerah di negeri berkenaan diraikan secara sederhana namun meriah meskipun disambut pada hari bekerja.

Pengerusi Kuil Sri Maha Siva Muniswarar di Johor Bahru R Annamalai berkata kira-kira 1,200 penganut agama berkenaan memenuhi kuil bagi meraikan perayaan tersebut.

“Perayaan ini (Ponggal) adalah untuk meraikan pesta menuai sebagai tanda kesyukuran terhadap hidupan dan alam semula jadi yang memberikan rezeki dalam kehidupan seharian. Ia merupakan acara keagamaan yang penuh bermakna buat penganut agama Hindu,” katanya.

Sementara itu di Batu Pahat, Bendahari Kuil Sri Mariamman Paripalan Saba, R Manogaran berkata meskipun hujan ia tidak menghalang kira-kira 600 penganut agama itu untuk hadir ke kuil bagi meraikannya.

Di KEDAH, sambutan pesta Ponggal diraikan dengan penuh kemeriahan di Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam di Alor Setar, yang mula dipenuhi orang ramai seawal 6 pagi.

S Nayakumar, 56, dari Taman Suka Menanti berkata dia bersama ahli keluarganya datang ke kuil itu pada 6.15 pagi untuk melaksanakan upacara sembahyang dan Ponggal bersama masyarakat India yang lain di sini.

"Kami datang awal untuk sertai upacara Ponggal ini kerana saya dan isteri perlu ke tempat kerja selepas ini. Walaupun masa suntuk, kami tidak mahu melepaskan peluang datang ke kuil kerana sambutan pesta ini setahun sekali," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, N Shantinayar, 26, dari Perak yang juga pelajar di sebuah pusat pengajian awam di sini berkata dia datang ke kuil itu seorang diri untuk meraikan pesta Ponggal bersama masyarakat India yang lain.

"Saya tidak dapat pulang ke rumah untuk sambut bersama ibu bapa, jadi saya ambil kesempatan untuk datang ke kuil ini. Ini kali pertama saya sambut pesta Ponggal bersendirian jadi ia satu pengalaman yang menarik dan sambutan di sini juga meriah,” katanya.

Di PERLIS, sambutan Pesta Ponggal diraikan dalam suasana meriah oleh masyarakat India di Kuil Arulmigu Arumugaswamy Dhevasthanam di Kangar.

Pengerusi kuil itu Dr R Hari Ram berkata acara pada waktu pagi di kuil berkenaan melibatkan aktiviti memasak Ponggal dan menjangkakan lebih ramai penganut agama Hindu akan hadir ke kuil itu pada sebelah malam untuk menikmati makan malam bersama. 

“Saya turut berharap agar sambutan Ponggal pada tahun ini membawa makna lebih besar kepada semua penganut agama Hindu serta melimpahkan keberkatan dan kebaikan kepada semua,” katanya. 

Sementara itu, S Kavitha, 38, berasal dari Kangar berkata sambutan Ponggal di kuil itu merupakan tradisi tahunan yang sentiasa dinanti-nantikannya kerana ia memberikan peluang kepada masyarakat beragama Hindu untuk berkumpul dan mengeratkan hubungan silaturahim. 

Di PAHANG, meskipun sedang dalam proses pengubahsuaian sejak tahun lepas, Kuil Sri Mariamman di Jalan Kemunting, Kuantan tetap mengadakan sambutan Ponggal secara sederhana bermula 7 pagi. 

Pada masa sama, Presiden Kuil Sri Mariamman S Vijay Ganesan berkata sebanyak lima kilogram beras dimasak di dalam belanga hari ini bersama beberapa bahan antaranya susu, gajus dan kismis untuk sambutan pesta Ponggal selain pihaknya turut mengedarkan makanan kepada pengunjung kuil.

Di PERAK, lebih 200 penganut Hindu mengunjungi Kuil Kallumalai Arulmigu Subramaniam di Gunung Cheroh, Ipoh seawal 7.30 pagi bagi meraikan sambutan pesta menuai atau Ponggal.

Pengerusi kuil berkenaan R Seetharaman, 55, berkata sambutan di kuil tersebut merupakan antara terbesar di Perak selain menjadikan upacara memasak susu dengan manisan sebagai tanda syukur terhadap alam semula jadi yang mengurniakan rezeki kepada mereka.

“Susu dan manisan yang disediakan dalam upacara itu akan diberikan kepada semua penganut yang datang bersembahyang di kuil ini,” katanya.

S Shobana, 27, pensyarah di Universiti Tunku Abdul Rahman yang berasal dari Ipoh, Perak melahirkan rasa teruja dan berharap tahun ini lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan dapat dicapai dalam kehidupan termasuk kerjaya dan dikurniakan kesihatan yang baik serta hubungan kekeluargaan lebih erat.

Di TERENGGANU, perayaan Ponggal disambut dalam suasana sederhana oleh masyarakat India di sini dengan populasi sekitar satu peratus daripada 1.3 juta penduduk negeri itu.

Pengerusi Kelab India Negeri Terengganu Dr Mangaleswaran Annamalai berkata sambutan Thai Ponggal hari ini dijalankan di empat kuil besar iaitu Kuil Sri Maha Mariamman, Kertih; Kuil Maha Mariaman, Jabor; Kuil Maha Kailasan Nathar, Kuala Terengganu dan Kuil Maha Mariaman, Chukai.

Beliau yang juga Pengerusi MIC Terengganu berkata sambutan dilakukan awal pagi di kuil masing-masing dengan memasak hidangan tradisional yang disediakan daripada tuaian beras baharu dan susu.

"Di Terengganu, perayaan Kanni Pongal yang disambut pada 16 Jan lebih meriah berbanding perayaan Boghi. Ramai wanita termasuk mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin akan merayakan Kanni Ponggal dengan memasak nasi manis. Esok, kuil di Kuala Terengganu akan merayakan Mattu Ponggal,” katanya.

Di SELANGOR, golongan pesawah beragama Hindu di sini berkumpul bagi meraikan perayaan Ponggal di Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Burung, Sekinchan.

Tinjauan Bernama mendapati kuil berkenaan menyerlahkan hospitaliti Malaysia apabila disambut mesra oleh T Lingam, 60, lelaki India yang fasih berbahasa Jawa, sambil meluangkan masa menjelaskan secara terperinci mengenai sambutan Ponggal yang memberikan pemahaman tentang kepentingan dan kekayaan budaya dalam kalangan masyarakat petani di Sekinchan.

“Ponggal mengikut bahasa Tamil 'mendidih’ yang membawa maksud kelimpahan dan kemakmuran. Hari ini perayaan disambut dengan memasak hidangan dipanggil Ponggal diperbuat daripada beras, susu dan gula melaka untuk dipersembahkan kepada dewa matahari sebagai tanda kesyukuran.

“Pesta ini berlangsung selama empat hari bermula semalam hingga Khamis, melibatkan Bhogi, Surya Ponggal, Mattu Ponggal dan Kaanum Ponggal,” katanya.

Lingam turut menzahirkan harapan dan doanya untuk hasil melimpah kepada setiap petani bukan sahaja di Sungai Burung malah di seluruh negara.

Bendahari kuil berkenaan GK Nadarajan berkata hampir 150 keluarga berkumpul di kuil ini untuk melakukan doa dan upacara keagamaan, membawa komuniti bersama untuk menyatakan rasa syukur dan berkongsi kegembiraan dengan orang tersayang.

"Untuk tahun baharu ini, kita harap pendapatan sawah kita semakin baik, kesihatan kita pun baik… tahun ini pun hasil tuaian agak baik iaitu lapan tan untuk seekar dan ada juga pesawah di sini yang dapat sampai 10 tan," katanya yang turut mengusahakan sawah padi di kawasan sama. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan