AM

Lima Keluarga Hilang Tempat Tinggal Akibat Ombak Besar

14/01/2025 04:15 PM

DUNGUN, 14 Jan (Bernama) -- Lima keluarga di Kampung Cacar Lama, Paka, di sini hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka roboh susulan ombak besar dan angin kencang, petang semalam.

Seorang mangsa Mohd Zufairie Zuhari, 35, berkata ketika kejadian, dia dan isteri, Nora Atika Mohd Mazari, 30, sedang mengemas untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setelah diarahkan pihak berkuasa.

Mohd Zufairie berkata bagaimanapun, mereka secara tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman dan gegaran kuat dari dalam rumah menyebabkan anak-anaknya yang masing-masing berusia tujuh dan 10 tahun menangis ketakutan.

"Saya terus mengarahkan isteri mengambil anak-anak dan segera keluar. Sejurus itu, kami lihat separuh bahagian rumah runtuh di depan mata," katanya ketika ditemui di PPS Balai Raya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bandar Paka, di sini hari ini.

Mohd Zufairie yang bekerja sebagai nelayan berkata walaupun kehilangan tempat tinggal, beliau tetap bersyukur kerana keluarganya sempat menyelamatkan diri.

"Sudahlah tidak dapat turun ke laut, rumah yang menjadi tempat tinggal kami empat beranak pula musnah teruk. Tak tahulah ke mana arah tuju kami selepas ini, mungkin terpaksa menumpang sementara di rumah saudara-mara," katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa Zakaria Zainal, 45, berkata dia kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya runtuh sekelip mata dibadai ombak besar.

"Saya sedang bersiap untuk berpindah ketika itu, namun nasib saya baik kerana sempat keluar. Jika tidak, entah apalah nasib saya.

“Memang tahun ini ombak sangat besar, berlainan dengan tahun-tahun sebelum ini," katanya yang berharap kerajaan negeri dapat menghulurkan bantuan segera kepada penduduk terjejas memandangkan kesemua mereka tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bekerja sebagai nelayan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan