EKONOMI

ADB Mungkin Akan Teruskan Pendirian Tidak Biayai Projek Tenaga Nuklear

14/01/2025 06:29 PM

PETALING JAYA, 14 Jan (Bernama) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) berkemungkinan mengekalkan pendiriannya untuk tidak membiayai projek pembangunan penjanaan tenaga nuklear sambil mengkaji semula dasar tenaganya tahun ini, walaupun sumber tenaga alternatif itu semakin popular.

Pengarah ADB (Asia Tenggara dan Pasifik) untuk Sektor Tenaga Dr Keiju Mitsuhashi berkata walaupun ADB mahu terus menyokong negara-negara anggotanya dengan peningkatan kapasiti, bank itu masih merasakan terdapat banyak halangan terhadap pelaburan dalam penjanaan tenaga nuklear, termasuk penggunaannya, risiko pengurusan sisa dan keselamatan.

"Kami bukan penyelesaian pembiayaan untuk segala-galanya. Kami bukan Superman. Kami perlu mengkhususkan diri dalam perkara yang kami mahir, dan meninggalkan bidang di luar kepakaran kami kepada institusi dan agensi pembiayaan lain yang lebih sesuai untuk peranan tersebut.

“Dalam konteks itu, kami merasakan bahawa kami tidak akan melabur dalam menyokong penjanaan tenaga nuklear,” katanya semasa sesi perbincangan panel Bengkel Pembangunan Mampan ASEAN (AWSD) 2025, yang diadakan di Sunway University, di sini hari ini.

Ahli-ahli panel untuk sesi bertajuk "Memperkasa Masa Depan Hijau ASEAN: Penjanaan Kuasa, Penghantaran dan Penyimpanan", termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, serta Pengerusi Pertubuhan Kerjasama Pembangunan Saling Hubung Tenaga Global dan Presiden Majlis Elektrik China Xin Baoan. 

Mitsuhashi berkata penjanaan tenaga nuklear semakin menarik minat pelabur di seluruh dunia, dengan banyak negara termasuk di Asia Tenggara dan Malaysia, berhasrat untuk meneruskan dasar penyahkarbonan mereka menjelang 2050.

"Nampaknya ia masih jauh, tetapi kita perlu bertindak sekarang. Setiap negara perlu memastikan keselamatan tenaga, akses kepada tenaga dan memastikan ia mampu milik.

"Penjanaan kuasa nuklear adalah salah satu penyelesaian yang telah dipertimbangkan di beberapa negara dan semakin meningkat di banyak negara," katanya.

Menurut Mitsuhashi, adalah sangat sukar untuk menggantikan loji janakuasa arang batu dengan tenaga boleh baharu yang tidak stabil, berubah-ubah seperti solar dan angin, kerana ia memerlukan pelaburan dalam penyimpanan, penyimpanan tenaga bateri dan sistem hidro pam.

"Banyak negara melihat campuran tenaga untuk pelan pembangunan tenaga mereka. Kami menyokongnya walaupun ia termasuk pelan penjanaan tenaga nuklear.

"Cuma kami sebagai sebuah institusi tidak yakin untuk menyokong pembiayaan loji tenaga nuklear. Dan, anda tahu, terdapat banyak pembahagian tugas, melihat kepada kecekapan dan menangani kelemahan," katanya.

Beliau berkata sebagai bank pembangunan pelbagai hala, ADB akan menghormati ketelusan dan daya saing kos dalam memastikan pelaburan yang dilakukan dan seterusnya diikuti dengan bidaan tender terbuka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan