KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Satu Jawatankuasa Kajian Pindaan Akta Kontrak 1950 (Akta 136) ditubuhkan bagi melaksanakan kajian komprehensif terhadap akta berkenaan yang kali terakhir dipinda pada 1976.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan jawatankuasa itu ditubuhkan dengan kerjasama Universiti Monash dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kenyataan itu memaklumkan jawatankuasa kajian pindaan Akta 136, yang boleh dikategorikan sebagai undang-undang lapuk dan ketinggalan zaman, dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
"Sebahagian besar isi kandungan dalam akta berkenaan menggunakan istilah-istilah lama serta berteraskan prinsip undang-undang yang sudah tidak relevan dengan keperluan zaman moden.
"Banyak peruntukan tidak mampu menangani isu kompleksiti dalam transaksi terutamanya transaksi e-dagang dan perjanjian berbentuk digital," menurut kenyataan itu.
BHEUU JPM memaklumkan jawatankuasa berkenaan akan bertindak dengan membuat kajian bidang utama pembangunan undang-undang kontrak, mengkaji keputusan penting mahkamah Malaysia dan bidang teras undang-undang kontrak.
"Ia termasuk membuat penyataan semula undang-undang kontrak, mengesyorkan keperluan pembaharuan Akta 136 serta menyediakan laporan berhubung keperluan pembaharuan akta terbabit," menurut BHEUU JPM yang menyatakan tempoh masa kajian adalah selama 24 bulan melalui tiga fasa ditetapkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial