AM

Pemadam Cadang Bina Rumah Transit Bagi Bekas Penagih Wanita

14/01/2025 11:53 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) berhasrat untuk membina rumah transit bagi bekas penagih dadah wanita dalam usaha memberi perlindungan dan pengetahuan kepada golongan tersebut.

Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan Penawar, Pemadam, Datuk Jamelah A. Bakar berkata perkara itu akan diberi perhatian serius memandangkan terdapat beberapa bekas penagih dadah wanita disisihkan oleh ahli keluarga dan masyarakat.

“Kita (Pemadam) ingin membina rumah transit itu kerana mereka tiada hala tuju dan tempat untuk berteduh.

“Di rumah transit itu, kita akan beri pendidikan dan pengetahuan seperti kelas jahitan. Kita akan beri nafas baharu buat golongan tersebut untuk berdikari serta memberi jasa kepada negara,” katanya kepada Bernama pada majlis tahlil dan doa selamat sempena ulang tahun ke-49 Pemadam di ibu pejabatnya di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Pemadam turut meraikan 30 orang anak yatim dari Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Serendah, Selangor.

Mengulas lanjut mengenai isu dadah, Pengerusi Biro Media dan Promosi Pemadam, Hashim Anang berkata persatuan itu menjadi pelengkap kepada usaha agensi kerajaan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terutama dalam memberi pendedahan dan pencegahan berkaitan dadah kepada rakyat.

“Kita tidak boleh biarkan AADK sahaja memberi penerangan dan pencegahan. Kita (Pemadam) dan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) sebagai badan bukan kerajaan (NGO) akan bantu agensi itu untuk menyebarluaskan ilmu berkaitan pencegahan dadah seawal peringkat sekolah.

“Kita mementingkan pencegahan dari peringkat awal memandangkan terlalu banyak isu melibatkan ahli keluarga sejak akhir-akhir ini. Kerajaan juga perlu menitikberatkan perkara ini agar tidak terus menular,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan