AM

Warga KPKM Diseru Jayakan Inisiatif Pertanian Menegak Di Rumah - Mohamad

16/01/2025 06:13 PM

PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diseru menjayakan inisiatif pertanian menegak di kediaman masing-masing sebagai langkah memperkasakan konsep keterjaminan makanan di peringkat komuniti.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata seruan ini bukan sahaja menggalakkan penggunaan ruang yang terhad di rumah bagi aktiviti pertanian, tetapi juga sebagai usaha simbolik yang memberi contoh kepada rakyat berhubung kaedah pertanian moden.

"Jika setiap warga kementerian mampu mengaplikasikan vertical farming di rumah mereka, ia akan menjadi inspirasi kepada masyarakat umum untuk turut serta dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan negara melalui pertanian bandar yang mampan.

"Saya yakin, dengan sokongan semua pihak, inisiatif itu mampu memberikan impak besar, sekali gus menjadikan kementerian sebagai model contoh kepada rakyat," katanya semasa berucap di Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 KPKM, di sini hari ini.

Pertanian menegak atau vertical farming yang melibatkan penanaman dalam lapisan bertingkat atau permukaan yang condong secara menegak, menawarkan alternatif yang efisien dari segi ruang berbanding pertanian tradisional, menjadikannya sangat sesuai untuk kawasan di tanah yang terhad.

Mohamad turut menyeru kepada semua warga kementerian agar terus mengamalkan prinsip integriti, kejujuran dan kecekapan, kerana itu merupakan asas kepada perkhidmatan yang berkualiti serta kecemerlangan organisasi.

"Saya yakin dengan keutuhan pasukan yang kita miliki, kita mampu menghadapi segala cabaran mendatang, seterusnya memastikan agenda keterjaminan makanan negara terus menjadi keutamaan.

"Tindakan yang kita ambil perlulah sentiasa bersifat holistik dan proaktif agar keberkesanan penyampaian perkhidmatan dapat dipertingkatkan," katanya.

Mengimbas pencapaian KPKM sepanjang tahun lepas, Mohamad berkata antara kejayaan luar biasa yang menjadi kebanggaan bersama ialah pelaksanaan Program Jualan Agro MADANI, dengan 7,043 program telah dianjurkan di seluruh negara, jauh melebihi sasaran asal sebanyak 5,000.

"Program ini meliputi 900 lokasi di kompleks kerajaan dan 2,132 lokasi kawasan perumahan berkepadatan tinggi B40, menjadikannya antara inisiatif paling berkesan dalam memastikan akses kepada bekalan makanan yang berkualiti dan berpatutan serta memperkukuhkan ekonomi golongan petani penternak dan nelayan.

"Sambutan luar biasa yang diterima sepanjang pelaksanaan program ini membuktikan betapa pentingnya peranan kementerian dalam menghubungkan hasil pertanian dengan rakyat, di samping memastikan keterjaminan makanan yang mampan dan berdaya tahan," katanya.

Beliau berkata Jualan Agro MADANI akan diteruskan tahun ini dengan sokongan peruntukan daripada kerajaan yang membolehkan lebih banyak inisiatif bersasar dilaksanakan, demi manfaat komuniti pertanian serta kesejahteraan negara secara keseluruhannya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan