EKONOMI

JS-SEZ Mampu Jadi Platform, Pintu Masuk Pelaburan Asia Tenggara - Exco

16/01/2025 09:08 PM

ISKANDAR PUTERI, 16 Jan (Bernama) -- Kerajaan Johor komited dalam menjayakan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dilihat mampu menjadi platform atau pintu masuk pelaburan di Asia Tenggara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han berkata usaha itu antaranya menerusi pelbagai lawatan kerja kerajaan negeri ke negara asing bagi mempromosikan JS-SEZ, dengan Doha, Qatar menjadi lokasi pertama baru-baru ini.

Beliau berkata antara negara yang menjadi sasaran bagi pelaburan Johor ialah Singapura, Jepun, China, Korea Selatan, dan kalangan negara Timur Tengah.

“Buat masa ini, sasaran kita jelas ingin tarik syarikat dari rantau itu terlebih dahulu memandangkan dari segi perancangan, lebih realistik untuk mereka mengembangkan perniagaan lebih cepat di sini," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat bersama pelabur di sini, pada Khamis.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau juga berkata pelbagai program dan forum penerangan mengenai JS-SEZ akan dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri, Persekutuan serta Singapura.

"Forum ini akan dianjurkan di Johor, Kuala Lumpur dan Singapura selain (lokasi) pilihan bergantung kepada minat pelabur. Menerusi forum itu kita akan menerangkan perkara yang hendak kita capai menerusi JS-SEZ.

"Kita akan menerangkan dari segi polisi dan insentif JS-SEZ. Kita juga akan mempromosikan serta memperkenalkan syarikat-syarikat tempatan atau pengendali taman perindustrian kepada bakal pelabur,” katanya.

Lee menyuarakan keyakinan bahawa Johor akan terus mencatatkan prestasi pelaburan positif tahun ini susulan jumlah pelaburan RM19 bilion yang dicatatkan sehingga suku ketiga tahun lepas.

Keyakinan itu berasaskan pelbagai usaha yang dilakukan termasuk inisiatif JS-SEZ, katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri mengadakan mesyuarat bersama 30 penganalisis ekuiti dan pelaburan daripada 20 institusi tempatan dan 10 institusi antarabangsa untuk memperkenalkan peluang pelaburan.

Selain itu, pakej insentif yang ditawarkan menerusi JS-SEZ serta insentif Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City dan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) turut dibentangkan, katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan