EKONOMI

PM Anwar Lawat Battersea Power Station, Pelaburan Terbesar Malaysia Di UK

17/01/2025 12:03 AM

Daripada D.Arul Rajoo

LONDON, 16 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melawat Battersea Power Station, merupakan pelaburan terbesar Malaysia melibatkan dana awam di Eropah.

Ketibaan Anwar, yang berada di sini dalam lawatan kerja selama lima hari ke United Kingdom, disambut oleh Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan, Pengerusi Battersea Project Holding Company Ltd serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Perdana Menteri diberikan taklimat mengenai projek pembangunan semula seluas 16.97 hektar itu yang berpusat di Battersea Power Station yang ikonik dan disenaraikan sebagai pembangunan Gred II*. 

Transformasi pembangunan guna campur berskala besar itu diterajui oleh konsortium syarikat Malaysia yang terdiri daripada PNB, Sime Darby Property, S P Setia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Bala Chandran Tharman.

Battersea Power Station merupakan antara projek pembangunan semula terbesar di Eropah, menempatkan lebih 4,000 rumah baharu, 3.5 juta kaki persegi ruang komersial bercampur, 7.69 hektar ruang awam dan 20,000 pekerjaan, dengan kira-kira separuh daripada kawasan itu telah siap setakat ini.

Hari ini, mercu tanda ikonik itu mempunyai lebih 150 kedai, kafe, restoran dan menawarkan pengalaman rekreasi, lebih 3,000 penduduk, lebih 6,600 pekerja dan dihubungkan dengan pusat bandar London melalui stesen Underground Zon 1 yang baharu. 

Mendapat pengiktirafan National Geographic sebagai antara 20 ‘Tempat Budaya Terbaik’ di dunia pada 2024, Battersea Power Station telah menerima lebih 24 juta pengunjung sejak dibuka kepada orang ramai pada Oktober 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan