DUNIA

ASEAN 2025: Bernama Siap Siaga Laksana Tugas Sebagai Media Rasmi, Penyelaras Pusat Media Antarabangsa

17/01/2025 12:10 AM

Oleh Yasmin Ahmad Zukiman

LANGKAWI, 16 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sudah bersedia untuk melaksanakan tugas besar sebagai Media Rasmi dan Penyelaras Pusat Media Antarabangsa bagi Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bermula dengan Permukiman Menteri Luar ASEAN di Langkawi pada 18 dan 19 Jan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata persiapan untuk Permukiman Menteri Luar ASEAN sudah pun dibuat sejak Disember 2024 untuk memastikan kelancaran dalam mengendalikan kehadiran media tempatan dan asing yang akan membuat liputan acara itu.

“Sebagai media rasmi, BERNAMA juga akan memberi liputan menyeluruh di semua platform kami meliputi Bernama Wires, Bernama Foto, Bernama TV (Astro 502), Bernama Radio dan Bernama Digital.

“BERNAMA berasa bangga dilantik oleh Kementerian Luar untuk menggalas tugas besar ini. Insya-Allah, dengan pengalaman kami, saya yakin BERNAMA dapat melaksanakan tugas ini dengan sebaik-baiknya,” kata beliau.

Selain itu, katanya, BERNAMA juga menyediakan laman mikro khas  yang memaparkan berita dan gambar berkaitan ASEAN sejak 1 Sept 2024.

BERNAMA juga akan menyebarluaskan laporan berkaitan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dengan agensi-agensi berita luar negara yang turut menganggotai Pertubuhan Agensi-agensi Berita Asia Pasifik (OANA) dan Kesatuan Agensi-agensi Berita Pertubuhan Kerjasama Islam (UNA).

Sementara itu Penyelaras Pusat Media Antarabangsa Zaria Mohd Nasri berkata setakat ini 274 media tempatan termasuk media rasmi dan antarabangsa telah berdaftar untuk membuat liputan Permukiman Menteri Luar ASEAN di sini.

"Dari segi persediaan, pasukan penyelaras telah melakukan perancangan awal sejak tahun lepas dan melakukan tiga kali lawatan tapak ke lokasi acara bagi memastikan keperluan pengamal media tersedia.

"Ini kerana Bernama telah diberikan tanggungjawab sangat besar untuk menyelaras keperluan media termasuk menyediakan bahan berita dan foto kepada mereka," katanya.

Zaria berkata antara kemudahan yang disediakan di Pusat Media Antarabangsa adalah ruangan kerja, kemudahan Internet berkelajuan tinggi, ruangan kopi dan teh, kiosk informasi dan pertanyaan serta ruangan temu bual. 

Selain acara ini, Bernama turut akan membuat liputan berkaitan Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China di Kuala Lumpur dan Permukiman Menteri Ekonomi ASEAN di Johor bulan depan.

Mesyuarat lain adalah Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) di Pulau Pinang pada Mei, Mesyuarat Menteri Luar ASEAN dan Persidangan Pasca-Menteri (AMM/PMC) di Kuala Lumpur (Julai), SOM ASEAN di Negeri Sembilan serta acara yang dinanti-nantikan, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara pada Oktober.

Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025 daripada Laos, dengan bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.

Ia merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

ASEAN yang diasaskan pada 8 Ogos 1967 kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala kemasukan Timor-Leste untuk menjadi negara anggota masih lagi dalam proses.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan