KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- LazAffiliates Malaysia, program affiliate Lazada, menawarkan peluang kepada sesiapa sahaja untuk menukar minat membeli-belah mereka kepada menjana pendapatan dengan memperoleh komisen melalui promosi produk secara dalam talian seperti di platform media sosial.
Ketua Pemasaran Affiliate Lazada Malaysia (Lazada) Jason Wei berkata program berkenaan yang kini memiliki lebih daripada 200,000 rakan kongsi turut menyokong usahawan kecil, perniagaan serta jenama besar dengan meningkatkan kesedaran dan promosi.
“Sebagai contoh, beberapa jenama besar masih bergantung kepada pemasaran affiliate hingga hari ini untuk meningkatkan promosi mereka dan sebagainya. Jadi, inilah cara pemasaran affiliate dapat membantu perniagaan, bukan hanya jenama besar, tetapi juga usahawan kecil dan jenama yang baru berkembang," katanya kepada pemberita pada Bengkel Lazada Affiliates di sini baru-baru ini.
Beliau berkata walaupun untuk menyertai LazAffiliates sangat mudah iaitu dengan beberapa klik sahaja, kejayaan memerlukan usaha yang berterusan dan komitmen untuk individu memperoleh pendapatan melalui program terbabit, sama ada menggunakan telefon pintar atau komputer.
"Sebagai contoh, terdapat sesetengah individu yang berputus asa apabila tiada jualan pada percubaan pertama. Kami berhadapan dengan rakan kongsi seperti ini dan mereka enggan meneruskan. Jadi, untuk menjadi rakan affiliate yang berjaya, ia tidak bergantung kepada hanya satu percubaan," katanya.
Wei berkata Lazada juga sedang sedikit demi sedikit meningkatkan aplikasi affiliate, beralih daripada sistem manual dengan beberapa promosi seperti insentif dihantar menerusi perkhidmatan e-mel.
Beliau berkata syarikat itu sedang menyepadukan ciri-ciri itu ke dalam aplikasi disebabkan ada sesetengah pengguna yang mungkin terlepas pandang menyemak e-mel mereka.
“Melalui aplikasi ini, pengguna boleh menyemak insentif mereka dengan mudah dan sekiranya berminat, mereka boleh menyertai program dengan hanya satu klik. Selain itu, kami juga telah menambahbaik proses bayaran, menggantikan semakan manual yang perlahan dengan sistem yang lancar bagi membolehkan pengguna menjejak semua butiran mereka secara terus dalam aplikasi," katanya.
Sementara itu, Analisis Kanan Pemasaran Lazada Affiliate Raja Uthaya berkata sesiapa sahaja bukan hanya pencipta kandungan atau pempengaruh, boleh menjadi LazAffiliate dengan mengikuti lima langkah mudah untuk menyertai program terbabit.
Beliau berkata pengguna perlu mendaftar atau log masuk ke akaun Lazada, kemudian pergi ke bahagian 'My Account', klik pada ikon LazAffiliates dan mengisi borang pendaftaran ringkas berserta maklumat peribadi dan pautan media sosial. Selepas itu, pengguna boleh mula menghasilkan pautan affiliate untuk dikongsi bersama rakan, keluarga dan pengikut.
Selepas mendaftar, beliau berkata penting untuk kekal berhubung dengan LazAffiliates bagi mencapai kejayaan dalam pemasaran affiliate dan mereka perlu mengikuti promosi, kempen, serta sumber yang bermanfaat, dengan mengikuti LazAffiliates menerusi TikTok, Instagram, dan Telegram untuk kemas kini masa nyata serta menyertai Kumpulan Facebook Lazada Affiliate.
Selain itu, Raja Uthaya berkata acara affiliate dan webinar yang dianjurkan di Lazada University merupakan cara lain untuk meningkatkan potensi pendapatan, iaitu acara itu meliputi pelbagai topik seperti penciptaan kandungan, reka bentuk kreatif, dan strategi pemasaran.
Beliau berkata menjejak kemajuan penting untuk memastikan kejayaan dalam pemasaran affiliate, dengan papan pemuka LazAffiliates membolehkan pengguna memantau prestasi pautan affiliate mereka, termasuk kadar penukaran, pesanan, dan pembayaran komisen.
Akhir sekali, konsistensi merupakan faktor utama bagi affiliates yang berhasrat meningkatkan pendapatan mereka. Membuat hantaran dan berkongsi pautan affiliate dengan kerap mampu meningkatkan peluang untuk menghasilkan jualan lebih tinggi.
“Dengan mengekalkan jadual penyiaran yang tetap dan sentiasa mencipta kandungan baharu, rakan affiliate dapat mencapai potensi pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial