AM

Manfaat Potensi 5G Tingkat Kualiti Perkhidmatan Kesihatan - Fahmi

18/01/2025 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Potensi rangkaian 5G akan dimanfaatkan untuk meningkatkan literasi kesihatan rakyat dan kualiti perkhidmatan kesihatan negara melalui Program Rintis Future Health for All (FH4A), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu akan mengaplikasikan teknologi terkini dan ketersambungan 5G bagi memastikan keterangkuman dan kesaksamaan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Sebagai permulaan, katanya program rintis FH4A akan dilaksanakan di 20 lokasi terpilih di enam negeri, iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Johor.

“Kita bermula di Kuala Lumpur dan akan menjelajah ke lima negeri yang lain dan berakhir di Johor, tetapi saya lihat kita juga boleh meningkatkan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan lain termasuk hospital pengajar dan hospital swasta. 

“Jadi, saya percaya dengan beberapa kemudahan yang kita sediakan lebih ramai yang akan dapat manfaat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di sini hari ini.

Fahmi berkata liputan rangkaian 5G di seluruh negara mencapai 82.4 peratus di kawasan berpenduduk setakat Disember 2024, menjadikan Malaysia antara negara terpantas di dunia yang memperluas akses komunikasi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Selain itu, kadar penembusan akses 5G dalam kalangan rakyat bagi tempoh sama telah mencapai 53.35 peratus, melonjak hampir lima kali ganda berbanding 10.8 peratus pada Oktober 2023.

“Dengan adanya ketersambungan yang meluas, penembusan akses 5G dapat melengkapkan keupayaan untuk penjagaan kesihatan kendiri dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata FH4A dijalankan melalui kerjasama strategik MCMC dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Majlis Amanah Rakyat (MARA), ProtectHealth, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dan KPJ Healthcare Bhd.

Ia mengambil pendekatan progresif dengan mempromosikan teknologi kesihatan masa hadapan susulan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) yang memberi impak signifikan kepada ekonomi negara.

Fahmi berkata Malaysia sedang berhadapan dengan kadar NCD yang tinggi, dengan RM9.65 bilion atau 16.8 peratus daripada perbelanjaan kesihatan negara telah digunakan untuk merawat NCD.

Beliau berkata Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati kadar literasi kesihatan di Malaysia, iaitu keupayaan untuk memahami dan mengakses maklumat bagi mengekalkan tahap kesihatan, tidak menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari 2019 hingga 2023, dengan kadar purata sebanyak satu peratus.

“Saya harap kewujudan program ini bukan sahaja dapat meningkatkan tahap literasi kesihatan rakyat, malah juga dapat memastikan rakyat lebih peka dan bersedia untuk menghadapi cabaran berkaitan kesihatan,” katanya.

Bagi kawasan pedalaman pula, Fahmi berkata hampir 1,100 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara akan turut berusaha meningkatkan tahap literasi kesihatan melalui program e-Kesihatan.

“Ia telah dimulakan di beberapa NADI, sebagai contoh di Pulau Bum Bum di Semporna, Sabah.

“Ada juga kemudahan seperti itu di Ranau, Sabah dan beberapa kawasan pedalaman yang boleh menggunakan Internet untuk mendapat, sama ada kaunseling atau berinteraksi dengan doktor supaya mereka tidak perlu ke Kota Kinabalu atau mana-mana bandar besar untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan