AM

Choon Aun Jadikan Seni Keratan Kertas Dan Kaligrafi Cina Elemen Penting Sambutan Tahun Baharu Cina

19/01/2025 11:27 AM

KANGAR, 19 Jan (Bernama) -- Seni keratan kertas dan kaligrafi Cina bukan sekadar satu tradisi, tetapi juga menjadi elemen penting dalam meriahkan sambutan Tahun Baharu Cina, seperti yang diamalkan oleh Koay Choon Aun, 71, dari Kuala Perlis sejak lebih 10 tahun lalu.

Bermula sebagai hobi, pesara guru lukisan ini menjadikan seni keratan kertas dan kaligrafi sebagai cara untuk menyemarakkan suasana perayaan. Setiap tahun, dinding rumahnya dihiasi dengan seni keratan kertas bercorak yang sarat dengan makna tersirat, serta kaligrafi Cina yang dihasilkan dengan sentuhan tangannya.

“Tanpa hiasan, saya rasa perayaan akan kurang meriah dan tidak lengkap. Tahun ini, saya menghasilkan hiasan ular, sesuai dengan zodiak tahun ini. Setiap corak mengambil masa sekitar lima minit untuk disiapkan, bergantung kepada saiz dan rekaan,” katanya kepada pemberita.

Choon Aun juga gemar menghadiahkan hasil seni yang dihasilkannya kepada keluarga dan rakan-rakan sebagai perhiasan sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Ia bukan sahaja simbol penghargaan, tetapi juga kenangan manis, bahkan turut dihadiahkan sebagai hadiah perkahwinan..

Beliau sering menerima jemputan daripada pelbagai agensi untuk mempamerkan hasil seninya, serta berkongsi kemahirannya dengan pengunjung. Hal ini memberi peluang kepada golongan muda untuk mengenali dan mendalami seni tradisional ini.

"Saya gemar melukis dan menyimpan lebih 30 buku yang memuatkan koleksi seni keratan kertas dan kaligrafi Cina yang dihasilkan sejak 2014. Buku-buku ini menjadi kenangan, termasuk hiasan yang pernah saya hasilkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu,” katanya.

Hiasan terbesar yang pernah dihasilkan oleh Choon Aun adalah semasa perkahwinan anaknya, dengan ukuran empat meter lebar dan dua meter panjang. Ia mengambil masa lebih sebulan untuk disiapkan.

"Saya berharap seni tradisi ini terus dihargai kerana ia merupakan hasil seni yang mampu menyemarakkan semangat perpaduan dan menghidupkan suasana perayaan," katanya.

Kenangan manis baginya adalah setiap tahun beliau menghasilkan hadiah istimewa berupa kaligrafi perayaan Cina untuk Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sejak 2016.

“Saya berbesar hati apabila Raja Puan Muda Perlis meminati seni ini. Setiap tahun saya akan memastikan hadiah berupa keratan kertas dan seni kaligrafi ini dihantar kepada baginda,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan