GEORGE TOWN, 19 Jan (Bernama) -- Polis Pulau Pinang menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah selepas menahan tujuh individu termasuk seorang wanita warga Vietnam dan merampas pelbagai jenis dadah dan sitaan bernilai lebih RM1.3 juta dalam dua siri serbuan di negeri itu bermula Jumaat lepas hingga hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata dalam kes pertama, polis menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam dalam serbuan di Butterworth bermula 7 pagi hingga 5 petang semalam, hasil risikan dan intipan yang dijalankan pihak polis.
"Dalam serbuan itu, polis menahan tiga individu terbabit berumur 25 hingga 34 tahun dan merampas dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) sebanyak 5,954 gram (g) dan ketamin seberat 915.71 g yang kesemuanya bernilai RM1.1 juta bersama mereka.
"Berdasarkan siasatan, semua dadah itu diperoleh daripada rangkaian sindiket pengedaran dadah dan mereka kemudian mengedarkan MDMA serta ketamin itu untuk pasaran di pusat hiburan di sekitar Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata seorang daripada lelaki itu bekerja sebagai jurujual emas manakala rakannya pula penganggur dan wanita yang ditahan merupakan teman wanita kepada seorang daripada suspek berkenaan serta mereka terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak Oktober tahun lepas.
Hamzah berkata jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 50,000 penagih atau 50,000 kali penggunaan dadah sementara hasil ujian air kencing mendapati dua lelaki terbabit positif methamphetamine, amphetamine, ketamin, dan benzo.
Beliau berkata ekoran penahanan tiga suspek itu, polis turut menyita kereta, barang kemas, jam tangan berjenama dan wang tunai yang kesemuanya bernilai RM56,000.
Bagi kes kedua pula, beliau berkata polis menahan empat lelaki tempatan berumur 24 hingga 48 tahun dalam serbuan berasingan di sekitar George Town, di sini yang terlibat dalam kegiatan mengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM66,215 menerusi serbuan sejak Jumaat lepas hingga semalam.
"Dalam serbuan bermula 10.15 malam (Jumaat) hingga 1.45 pagi (Sabtu) itu, polis merampas heroin sebanyak 4,993.28 g, 544 batang rokok yang mengandungi dadah disyaki jenis mushroom seberat 942 g, 20 biji Erimin 5 dan syabu 1.52 g," katanya dan menambah polis turut menyita kereta dan barang kemas yang kesemuanya bernilai RM153,000.
Mereka yang ditahan katanya, merupakan tukang gunting rambut, pekerja kedai makan dan penganggur yang kesemuanya merupakan ahli sindiket pengedaran dadah aktif sejak pertengahan tahun lepas, serta seorang daripada mereka mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Kesemua tujuh individu itu kini direman tujuh hari bermula semalam dan hari ini serta kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial