DUNIA

Trak Bantuan Siap Sedia Masuk Ke Gaza Ketika Gencatan Senjata Berkuat Kuasa

20/01/2025 12:46 AM

BANDARAYA GAZA (Palestin), 19 Jan (Bernama-AA) -- Puluhan trak sarat dengan bantuan kemanusiaan dijangka memasuki Semenanjung Gaza pada Ahad susulan penguatkuasaan perjanjian gencatan senjata, kata seorang pegawai Palestin.

“Puluhan trak bantuan telah tiba dari sebelah Mesir ke lintasan Karam Abu Salem (Kerem Shalom),” kata pegawai itu kepada Agensi Anadolu (AA).

“Trak-trak ini bersedia untuk memasuki Gaza sebaik gencatan senjata bermula,” tambahnya tanpa memberikan butiran bila trak bantuan itu akan dibenarkan memasuki wilayah itu.

Saluran berita Mesir, Al-Qahera News yang bersekutu dengan kerajaan melaporkan bahawa 95 trak bantuan telah memasuki lintasan sempadan itu, manakala trak lain sedang menunggu di lintasan Rafah untuk dibenarkan masuk ke Gaza.

Sementara itu, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin (UNRWA) berkata pihaknya mempunyai 4,000 trak bantuan yang bersedia memasuki Gaza.

Pesuruhjaya Agung UNRWA Philippe Lazzarini memberi amaran bahawa serangan terhadap konvoi bantuan di Semenanjung Gaza “mungkin berkurangan apabila bantuan kemanusiaan mula tiba susulan gencatan senjata.”

Perjanjian gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 11.15 pagi waktu tempatan (0915GMT) pada Ahad selepas beberapa jam tertangguh susulan dakwaan Israel terhadap Hamas yang dikatakan melambatkan penghantaran senarai tawanan yang akan dibebaskan.

Gencatan senjata itu pada awalnya dijadual bermula pada 8.30 pagi waktu tempatan (0630GMT).

Hampir 47,000 orang telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 110,700 yang lain cedera dalam konflik sejak 7 Okt 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

-- BERNAMA-AA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan