EKONOMI

AHAM Capital Umum Agihan Pendapatan RM1.11 Bilion Pada Tahun Kewangan 2024

20/01/2025 02:48 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- AHAM Asset Management Bhd (AHAM Capital) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM1.11 bilion pada tahun kewangan 2024, meliputi 89 dana borong dan runcit.  

Dana itu, yang terdiri daripada ekuiti, bon dan aset bercampur, mencatatkan purata hasil pengagihan pendapatan antara 4 peratus dan 8 peratus.  

Ketua Pegawai Penyelesaian Produk dan Pengalaman Pelanggan AHAM Capital Anton Tan berkata prestasi itu disokong oleh keadaan pasaran yang kukuh.

“Pada 2024, kedudukan strategik kami dalam ekuiti Malaysia membuahkan hasil, disokong oleh prestasi pasaran yang kukuh didorong oleh pembaharuan dasar dan lonjakan dalam pelaburan langsung asing.

“Selain itu, trend inflasi yang berkurangan dan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS mewujudkan situasi yang menyokong untuk pasaran pendapatan tetap, menyumbang kepada kestabilan strategi pendapatan kami secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tan berkata kepelbagaian menjadi semakin penting dalam perubahan landskap global yang dibentuk oleh pentadbiran Presiden AS Donald Trump, ketegangan geopolitik yang meningkat dan ketidaktentuan mata wang yang berterusan.

“Walaupun kadar penurunan faedah mungkin perlahan dan kadar faedah berkemungkinan kekal tinggi untuk tempoh lebih lama, persekitaran semasa masih menawarkan peluang kepada pelabur yang mencari pendapatan untuk mendapat hasil lebih tinggi pada masa ini.

“Kami kekal dengan komitmen untuk menyediakan penyelesaian yang pelbagai di peringkat global merangkumi pelbagai strategi, aset dan kelas mata wang untuk membantu pelanggan kami membuat penyelarasan semula dan mempersiapkan diri untuk tahun mendatang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, prestasi beberapa dana, termasuk AHAM World Series - Income Fund, mencatatkan hasil sebanyak 8.3 peratus. 

AHAM Select SGD Income Fund dan AHAM Select AUD Income Fund, masing-masing mencatatkan hasil sebanyak 4.5 peratus manakala dana patuh Syariah seperti Aiiman Income Plus Fund dan Aiiman Quantum Fund, masing-masing mencatatkan hasil sebanyak 4.5 peratus dan 4.6 peratus.  

Setakat 31 Dis 2024, jumlah aset di bawah pentadbiran AHAM Capital kira-kira RM89 bilion, merangkumi aset di bawah pengurusan, khidmat nasihat pelaburan dan aset yang diagihkan, katanya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan