AM

TPAD Tuntut Hapuskan Sistem 'Auto-Accept' Dalam Perkhidmatan e-Hailing

20/01/2025 05:32 PM

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) menuntut agar sistem auto-accept atau terima secara automatik dalam perkhidmatan e-hailing dihapuskan kerana dianggap merugikan pemandu. 

Presiden TPAD M.Nathan berkata sistem itu juga tidak memberikan kebebasan kepada pemandu e-hailing untuk memilih ride atau perjalanan mengikut keperluan dan keselesaan mereka.

“Ia adalah satu sistem yang merugikan pemandu dan boleh digantikan dengan banyak cara lain untuk mengambil penumpang tanpa henti iaitu dengan inisiatif Complete Job and Earn RM (siapkan tugasan dan raih wang) sebagai contohnya. 

Manual accept (terima secara manual) juga perlu dilaksanakan tanpa sebarang syarat selain sistem baharu (jika diperkenalkan) perlu memberi pilihan kepada pemandu untuk memilih sama ada manual atau auto-accept,” katanya dalam sidang media selepas menghantar memorandum tuntutan isu e-hailing dan p-hailing kepada pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini.

Terdahulu, Nathan bersama anggota TPAD yang lain turut mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Ketua Setiausaha MOT Datuk Jana Santhiran Muniayan dan wakil Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di MOT.

Menurut Nathan, isu auto-accept merupakan antara 21 tuntutan utama TPAD terhadap amalan perkhidmatan e-hailing dan p-hailing yang dilihat membebankan pemandu gig di Malaysia dari pelbagai aspek.

Selain itu, TPAD turut menuntut agar perlindungan insurans diperluas kepada pemandu gig sepanjang masa dan bukan hanya waktu ketika melakukan tugasan (on job), selain dapat melindungi pihak ketiga yang terlibat dalam kemalangan yang disebabkan oleh pemandu atau penghantar.

“Selain itu, TPAD turut mencadangkan agar perkhidmatan e-hailing dan p-hailing memperkenalkan kawasan atau zon amaran bahaya secara automatik dalam aplikasi Google Maps dan Waze dengan amaran pintar bagi meminimumkan risiko perjalanan dan keselamatan pemandu dan penumpang.

“Apa yang diperjuangkan oleh TPAD ini bukan hanya akan memanfaatkan pemandu gig malah penumpang juga. Kami juga cadang bagi pemasangan kamera papan pemuka (dash cam) dengan perakam suara, ini sekiranya berlaku kejadian tidak diingini dan pihak berwajib memerlukan bukti sampingan, ia akan membantu,” katanya.

Ditanya mengenai hasil perbincangan, Nathan berkata pihak MOT memberi jaminan akan memberi maklum balas mengenai isu tuntutan berkenaan dalam masa dua minggu selepas mendapatkan respons daripada pengendali perkhidmatan p-hailing dan e-hailing.

Selaras dengan keputusan itu, Nathan berkata satu perhimpunan aman berkaitan tuntutan TPAD yang dijadualkan berlangsung di pekarangan MOT esok dibatalkan serta-merta. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan